SHAH ALAM, 23 JAN: Polis menerima 17 lagi laporan berhubung kejadian seorang kanak-kanak autisme yang didakwa dikurung di sebuah taska di Seksyen 3, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata pertambahan berkenaan menjadikan 20 laporan diterima setakat tengah hari tadi.
Menurutnya, pemilik taska terbabit sudah dipanggil bagi membantu siasatan dan keterangan turut dirakamkan, namun setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat.
"Sebanyak 20 laporan sudah kita terima bagaimanapun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
“Polis masih menjalankan siasatan berhubung semakan lesen sijil kelulusan operasi termasuk jagaan untuk anak istimewa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Ramsay mengesahkan menerima tiga laporan termasuk daripada ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terbabit.
Menurut beliau, pihaknya turut merakam keterangan penyanyi rap dan pempengaruh media sosial, Caprice, susulan pendedahan video berkenaan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Pada Selasa, Caprice berkongsi beberapa video di media sosial yang memaparkan keadaan sebuah cawangan tadika berkenaan di Shah Alam dalam keadaan kotor dan bersepah.
Video berkenaan turut memaparkan seorang kanak-kanak autisme yang didakwa dibogelkan dan dikurung di dalam sebuah stor di pusat jagaan terbabit.
Susulan pendedahan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menjalankan siasatan ke atas premis berkenaan pagi kelmarin dan mendapati taska terbabit tidak berdaftar sebagai operator di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Keadaan premis tersebut juga didapati tidak memuaskan, tidak kondusif serta gagal memenuhi ciri keselamatan sewajarnya, sekali gus berdepan tindakan undang-undang.
Sementara itu, EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berkata kejadian berkenaan bukan kes pertama seumpamanya, malah pihaknya pernah menerima laporan serta isu yang sama pada tahun lalu.


