SHAH ALAM, 23 JAN: Sebuah syarikat perkhidmatan kurier dikesan melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang perburuhan termasuk gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 serta membayar gaji pekerja secara tunai harian.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Betty Hassan berkata hasil pemeriksaan mendapati syarikat terbabit turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60A Akta Kerja 1955 kerana tidak membayar gaji lebih masa kepada pekerja.
Beliau berkata operasi penguatkuasaan itu melibatkan pemeriksaan terhadap 295 pekerja, merangkumi 120 pekerja tempatan dan 175 pekerja asing dari beberapa negara sumber termasuk Indonesia, India, Pakistan dan Bangladesh.
“Antara kesalahan dikenal pasti ialah kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 serta pelanggaran Seksyen 25A Akta Kerja 1955 berhubung kaedah bayaran gaji secara tunai harian,” katanya, lapor Berita Harian.
Betty menegaskan penguatkuasaan berterusan amat penting bagi memastikan kebajikan pekerja, sama ada tempatan mahupun asing, sentiasa terpelihara selain menjamin keharmonian hubungan perburuhan negara.
“Operasi ini bukan sahaja bertujuan penguatkuasaan undang-undang, malah menjadi medium untuk memberi penerangan, nasihat dan bimbingan kepada majikan mengenai kepentingan pematuhan peraturan buruh.
“Ia selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan persekitaran pekerjaan yang adil, selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya.


