AKPS rampas 76 tan daging babi haram bernilai RM1 juta di Pelabuhan Klang

22 Jan 2026, 9:45 AM
AKPS rampas 76 tan daging babi haram bernilai RM1 juta di Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG, 22 JAN: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 76 tan daging babi beku bernilai hampir RM1 juta yang dibawa masuk secara haram melalui Pelabuhan Barat, di sini.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata rampasan pertama melibatkan sebuah kontena dari Belgium yang mengandungi 27 tan daging babi beku, hasil pemeriksaan pada 14 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua kontena membawa dagangan produk haiwan daging babi belu yang diimport dari Belgium oleh sebuah syarikat tempatan.

“Siasatan lanjut mendapati dagangan tersebut dibawa masuk ke pelabuhan tanpa mematuhi syarat permit import, dan disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan daging babi yang telah di sita di dalam kontena di Sidang media sitaan 2 kontena dagangan ‘frozen pork’ di Pelabujan Barat Klang pada 22 Januari 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Hadir sama Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.

Mohd Shuhaily berkata rampasan kedua melibatkan daging babi sejuk beku dari Sepanyol, iaitu antara 14 negara yang dikenakan larangan import susulan penularan wabak African Swine Fever (ASF).

Beliau berkata sebanyak 49 tan daging babi beku bernilai RM660,137 dibawa masuk, dengan barangan tersebut diikrarkan sebagai “kotak sejuk beku” oleh sebuah syarikat tempatan yang kini sedang diburu pihak berkuasa.

“Kita percaya, lambakan daging babi beku yang dibawa masuk secara tidak sah ini adalah kerana permintaan tinggi susulan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, AKPS berazam mengesan sumber penjualan 'baby pig' atau 'suckling pig' di Malaysia yang dipercayai dijual secara terbuka sejak akhir-akhir ini.

Kotak yang berisi daging babi di Sidang media sitaan 2 kontena dagangan ‘frozen pork’ di Pelabujan Barat Klang pada 22 Januari 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Tegasnya, produk haiwan tersebut dipercayai diseludup secara haram berikutan ia tidak pernah dihasilkan di Malaysia serta tidak dibenarkan diimport ke negara ini.

“Negara kita tidak hasilkan 'baby pig' ini, dan kita juga tidak benarkan ia diimport. Kami akan cuba siasat dan rungkaikan, kerana kita takut ia datang dari 14 negara terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata pihaknya sedang melaksana prosedur pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan pelbagai latar belakang bekas anggota.

“Kelulusan sudah dibuat. Kita sekarang dalam proses untuk memenuhi prosedur pengambilan supaya tiada perkara berbangkit kelak. Askar ada yang berkhidmat jangka masa pendek, jadi ini beri kelebihan,” katanya.

Pada November lalu, Mohd Shuhaily dilapor berkata, AKPS akan memulakan pengambilan 220 veteran ATM secara berperingkat mulai Januari ini menerusi inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Pengambilan membabitkan tugasan sokongan tersebut akan dilaksanakan melalui kaedah lantikan secara kontrak selain menggunakan model yang diguna pakai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.