KOTA KINABALU: Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir bersambung semula hari ini.
Mahkamah Koroner memanggil semula bekas ketua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha untuk memberi keterangan lanjut.
Dalam prosiding semalam, BH melaporkan saksi kelapan, Azhari Abd Sagap mendedahkan penemuan bukti baharu berupa sekeping kertas yang ditemui ketika aktiviti gotong-royong dijalankan di sekolah berkenaan.
Susulan pendedahan tersebut, mahkamah menangguhkan prosiding kira-kira jam 4 petang.
Azhari memberitahu Mahkamah Koroner bahawa nota pada kertas berkenaan menyatakan minat mendalam Zara untuk menjadi seorang pengawas Badan Dakwah dan Rohani (BADAR).
Beliau turut memaklumkan bahawa bukti baharu itu merupakan antara dokumen yang telah diserahkan kepada pihak polis pada tahun lalu, termasuk salinan imbasan kenyataan bertulis pelajar serta diari.
Inkues berkenaan bermula pada 3 September tahun lalu susulan kematian Zara pada 17 Julai, sehari selepas mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan SMKA Tun Datu Mustapha.


