'Coach cerai’ fokus bimbing emosi, bukan penceraian

22 Jan 2026, 1:01 AM
'Coach cerai’ fokus bimbing emosi, bukan penceraian

SHAH ALAM, 22 JAN: Peranan ‘coach cerai’ sering disalah tafsir sebagai pihak yang mendorong individu bercerai, kata pengamal Mohd Izary Muhammed Ikhbal.

Beliau menegaskan tugasnya tidak melibatkan urusan perundangan atau prosedur penceraian, kerana klien yang mendapatkan khidmatnya telah melalui proses rasmi bersama peguam, mahkamah syariah dan pejabat agama.

“Semua klien saya sudah menggunakan peguam dan memfailkan kes di mahkamah sebelum berjumpa saya. Itu jelas di luar skop kerja saya,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau menegaskan, peranan sebenar 'coach cerai' adalah membimbing klien dari segi minda dan emosi, membantu mereka mendapatkan kejelasan pemikiran, menstabilkan emosi, serta mengelakkan keputusan dibuat secara terburu-buru atau di bawah tekanan.

“Misi saya ialah membantu mereka mengawal emosi dan membina semula diri, bukan menentukan atau mempengaruhi keputusan untuk bercerai,” katanya lagi.

Beliau yang mula memegang profesion itu sejak tahun lalu menyokong kenyataan menteri yang menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan khidmat 'coach cerai' ketika masih di peringkat awal mempertimbangkan penceraian.

Namun menegaskan nasihat itu tidak wajar ditujukan kepadanya kerana ia bukan bidang tugas beliau.

“Menceraikan orang bukan kerja saya. Proses penceraian langsung tiada kena-mengena dengan peranan saya sebagai coach,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas kenyataan berulang yang mengaitkan 'coach cerai' dengan punca penceraian, Mohd Izary menyifatkannya sebagai satu fitnah serius yang dibuat tanpa siasatan atau pengesahan.

“Apabila kenyataan itu diulang berkali-kali tanpa fakta, ia menjatuhkan fitnah kepada saya,” katanya yang turut menyatakan kesediaan untuk berjumpa dan bersemuka dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menjelaskan perkara sebenar secara berfakta.

“Jika mahu penjelasan, panggil saya berdepan. Jangan buat kenyataan tanpa menyelidik atau mendapatkan saksi,” katanya.

Mengulas kes melibatkan pelakon Uqasha Senrose, Mohd Izary menegaskan beliau hanya berkenalan selepas keputusan muktamad penceraian dibuat dan kes difailkan di mahkamah.

“Saya dihubungi Uqasha selepas keputusan itu dibuat. Beliau datang bukan untuk proses penceraian, tetapi untuk membina diri semula,” jelasnya.

Beliau menambah, kehadirannya di mahkamah hanyalah untuk memberi sokongan moral serta memperkenalkan Uqasha kepada peguam baharu selepas peguam asal menarik diri.

Katanya, Uqasha hanya menggunakan khidmat program selepas tamat tempoh idah, bagi menghormati sensitiviti agama dan mengambil kira pandangan masyarakat serta maklum balas pihak berkaitan.

Mohd Izary turut menzahirkan rasa kesal kerana orang ramai membuat andaian tanpa merujuk Uqasha.

“Tiada siapa tanya Uqasha kenapa beliau guna khidmat saya. Bila nampak saya di mahkamah, terus buat andaian dan menjatuhkan hukuman,” tegasnya.