SHAH ALAM, 21 JAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyambut baik pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang disifatkan sebagai langkah penting untuk memperkukuh akses dan keadilan pendidikan tinggi di negara ini.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata pelaksanaan RPTM itu selari dengan aspirasi UiTM dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses secara inklusif, khususnya kepada golongan Bumiputera.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang memberi impak besar ialah jaminan tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar cemerlang PNGK 4.0, pendidikan percuma kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) serta bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar.
“Langkah ini penting bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan tinggi dan pada masa sama memperkukuh mobiliti sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
UiTM turut menyokong penambahan 3,000 tempat pengajian IPTA bagi tahun 2026, termasuk dalam bidang strategik seperti Undang-Undang, Perakaunan, Kewangan, Kecerdasan Buatan (AI) dan Data Sains yang selari dengan keperluan pasaran kerja masa hadapan.
Selain itu, pengumuman penambahan 5,000 unit penginapan pelajar serta penambahbaikan pengurusan Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi bermula 2027 disifatkan mampu meningkatkan kesejahteraan pelajar.
UiTM juga menyambut baik pemerkasaan Mata Pelajaran Umum (MPU) dalam Bahasa Melayu dengan penekanan kepada Perlembagaan dan Sejarah Malaysia bagi membentuk graduan berilmu, berintegriti dan berjati diri nasional.
Sehubungan itu, UiTM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir atas komitmen kerajaan memperkasa pendidikan tinggi negara.
UiTM menegaskan komitmen untuk terus berperanan sebagai rakan pelaksana dasar bagi memastikan RPTM 2026–2035 dilaksanakan secara berkesan demi melahirkan graduan berdaya saing dan berkualiti.


