SHAH ALAM, 21 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan jumlah guru, sekolah dan kemudahan sedia ada mencukupi bagi menampung kemasukan murid tahun satu berusia enam tahun mulai tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata KPM telah menjalankan kajian dan mendapati sekolah yang dikenal pasti mempunyai tenaga pengajar mencukupi untuk melaksanakan pelaksanaan tersebut, lapor Berita Harian.
Beliau berkata pelaksanaan itu bersifat pilihan dan tidak diwajibkan kepada ibu bapa. Ia hanya dilaksanakan di sekolah yang mempunyai kemudahan, prasarana serta sokongan sesuai untuk menerima murid tambahan.
“KPM telah mengenal pasti sekolah yang bersedia, selain merancang pembinaan kelas baharu menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) bagi mengatasi isu kepadatan dengan tempoh pembinaan yang lebih singkat.
“KPM juga berpengalaman melaksanakan pembinaan IBS dan lebih 100 sekolah padat di seluruh negara telah berjaya ditangani melalui kaedah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata KPM akan menggunakan sistem data dan analisis bagi menyusun keperluan guru mengikut keperluan sebenar di sekolah terlibat.
Beliau berkata fokus ketika ini adalah menyusun penempatan guru serta melengkapkan kemahiran guru bagi menyokong keperluan murid tahun satu berusia enam tahun.
Sementara itu, katanya pendidikan khas turut diberi perhatian dalam pelaksanaan kurikulum baharu tahun hadapan bagi menyokong murid berkeperluan khas.
“Kurikulum baharu ini akan menyokong pendidikan khas. Semua sekolah baharu akan dilengkapi kelas pendidikan khas, manakala isu prasarana di sekolah lama akan diselesaikan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada penyediaan prasarana utama, penambahan guru dan pembantu murid,” katanya.


