Pekerjaan dalam Islam bukan sekadar aktiviti ekonomi tetapi ibadah yang memelihara maruah manusia. Allah menciptakan manusia sebagai khalifah di bumi dan salah satu fungsi kekhalifahan ialah bekerja secara produktif dengan suasana yang adil.
Oleh itu, menyediakan ekosistem pekerjaan yang lengkap dan selesa adalah tuntutan yang sangat selaras dengan prinsip syariah.
Dalam Islam, maruah manusia bernilai tertinggi. Kemiskinan dan pengangguran yang memaksa seseorang merendahkan diri hingga hilang martabat dianggap sebagai satu bentuk kemudaratan.
Nabi Muhammad SAW berdoa agar dijauhkan daripada kefakiran kerana kefakiran boleh membawa kepada kerosakan akhlak dan ketidakstabilan hidup.
Ekosistem pekerjaan yang selesa bermaksud peluang pekerjaan yang stabil, gaji berpatutan, persekitaran kerja yang selamat dan peluang meningkatkan kemahiran.
Ini bukan satu kemewahan, ia adalah hak. Pemerintah dalam Islam wajib memastikan rakyat tidak terperangkap dalam kitaran pekerjaan yang memiskinkan.
Kemaslahatan rakyat
Islam menekankan kemudahan (taysir), iaitu usaha menjadikan kehidupan masyarakat lebih mudah dan teratur.
Oleh itu, penyediaan jaringan pengangkutan yang baik, perumahan mampu milik berdekatan tempat kerja, kemudahan kesihatan dan pendidikan serta akses teknologi dan ruang kerja moden merupakan komponen penting dalam menjadikan pekerjaan selesa dan produktif.
Ini selari dengan prinsip maqasid syariah yang menolak kesusahan (raf‘ al-haraj) dan memaksimumkan kemaslahatan rakyat. Ekosistem pekerjaan yang lengkap memastikan rakyat dapat bekerja tanpa tekanan hidup yang berlebihan.
Apabila rakyat mempunyai pekerjaan yang baik, mereka lebih fokus untuk membangunkan keluarga, menyumbang kepada masyarakat dan mengelakkan gejala sosial.
Statistik zaman silam dan moden menunjukkan masalah sosial sering berpunca daripada tekanan ekonomi, pengangguran dan ketidaktentuan hidup.
Islam mengajar “al-yad al-‘ulya khayrun min al-yad al-sufla”, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang meminta. Masyarakat yang produktif dan berpendapatan stabil adalah asas negara yang kukuh.
Di peringkat negara, kestabilan politik dan kekuatan mata wang merupakan dua faktor yang sangat kritikal dalam menggerakkan ekonomi.
Dalam Islam, kedua-duanya dianggap sebagai elemen daruri (asas) untuk menjamin kelangsungan hidup bernegara.
Politik stabil
Al-Quran menekankan hubungan antara keamanan dan rezeki sepertimana disebutkan dalam ayat ke-4, Surah Quraysh:
"Yang memberikan mereka keamanan daripada ketakutan dan rezeki daripada kelaparan."
Pelaburan tidak akan masuk ke negara yang bergolak. Para pedagang pada zaman Nabi SAW sekalipun tidak akan singgah ke pasar-pasar yang tidak stabil keamanannya.
Dalam sejarah Khilafah ‘Umariyyah, kestabilan politik yang tegas tetapi adil membuka pintu perdagangan dengan Parsi, Rom dan wilayah-wilayah jiran.
Nilai mata wang merupakan cermin kekuatan ekonomi negara. Islam sangat menitikberatkan keadilan dalam urusan muamalat.
Mata wang yang jatuh mendadak menyebabkan inflasi, kenaikan harga barang dan ketidakseimbangan ekonomi. Kesemuanya adalah bentuk kezaliman kepada rakyat.
Apabila nilai mata wang mulai mengukuh, maka kos import menjadi lebih terkawal, harga barang lebih stabil, pelabur melihat Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh, dan keyakinan pasaran meningkat.
Ini menjadikan negara dapat menarik pelaburan jangka panjang, terutama pelaburan berskala besar dalam industri teknologi, automotif, tenaga dan pembangunan bandar.
Pelaburan
Tujuan pelaburan dalam Islam bukan untuk mengumpulkan kekayaan kepada satu kelompok, tetapi untuk memastikan kekayaan beredar dalam masyarakat.
Dalam ayat ke-7, Surah al-Hasyar; Al-Quran melarang kekayaan “berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja.”
Apabila negara berjaya menarik pelaburan besar, maka pekerjaan berkualiti tinggi akan wujud, teknologi baharu mengalir masuk, sektor tempatan mendapat manfaat dan negeri memperoleh hasil untuk membiayai pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
Inilah konsep maslahah ‘ammah, iaitu kepentingan umum yang menjadi objektif syariah.
Menyediakan ekosistem pekerjaan yang lengkap dan selesa serta memastikan kestabilan politik dan kekuatan mata wang merupakan dua tonggak yang tidak boleh dipisahkan dalam membangunkan negara menurut perspektif Islam.
Ia meliputi ekosistem pekerjaan menjaga maruah rakyat, Kestabilan politik menjaga keamanan negara, pengukuhan mata wang menjaga keadilan ekonomi dan pelaburan besar pula menjadi pemangkin kemakmuran masyarakat.
Kesemua ini merupakan tuntutan syariah demi membina masyarakat yang sejahtera, adil dan diberkati.


