SHAH ALAM, 21 JAN: Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) mengecam tindakan tidak profesional serta intimidasi yang dilakukan seorang pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap wartawan dalam sebuah majlis, kelmarin.
CiJA dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius insiden ketika sidang akhbar itu dengan menyifatkan ia sebagai pencabulan fizikal dan etika, selain masih tiada permohonan maaf daripada individu berkenaan.
“Ahli kami menjalankan tugas secara profesional dengan mengajukan soalan yang relevan kepada menteri yang hadir pada majlis tersebut.
“Memandangkan menteri berkenaan telah menjawab dengan baik dan berhemah, tindakan pemimpin GLC tersebut mencelah dan mempertikaikan wartawan adalah cubaan jelas untuk menakut-nakutkan media,” katanya.
Sehubungan itu, CiJA menuntut pemimpin GLC terbabit tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada wartawan tersebut dengan segera serta mahu pihak kementerian mengambil maklum isu berkenaan.
CiJA turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli, intimidasi, atau penyalahgunaan kuasa khususnya terhadap ahli persatuan itu.
“Kami senada dengan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) bahawa tugas wartawan adalah berlandaskan fakta dan tanggungjawab kepada rakyat, bukan untuk memuaskan hati pihak berkepentingan semata-mata,” katanya.
Terdahulu, NUJM mengecam tindakan seorang pegawai kanan sebuah syarikat GLC yang didakwa melakukan intimidasi terhadap pengamal media pada Isnin lalu.
NUJM dalam satu kenyataan memandang serius insiden yang berlaku ketika satu sidang media, kerana pegawai kanan terbabit bertindak mempertikai dan mempersoalkan pertanyaan wartawan.


