SHAH ALAM, 21 JAN: Kerajaan Selangor menjadikan pembangunan Islam sebagai teras pentadbiran negeri bagi membina masyarakat berilmu, berakhlak dan selari gagasan Malaysia MADANI.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan pembangunan Islam di negeri ini dilaksanakan secara tersusun dan berpaksikan maqasid syariah yang merangkumi penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan serta harta.
“Al-Quran bukan sekadar dibaca, sebaliknya perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai asas pembentukan masyarakat madani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1447H/2026M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini malam tadi.
Beliau berkata Kerajaan Negeri memberi penekanan terhadap pemerkasaan pendidikan Islam termasuk memperluaskan pelaksanaan Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS) bagi melahirkan generasi celik al-Quran yang bukan sahaja mahir bacaan, malah memahami dan menghayati kandungan kitab suci itu.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan pembangunan ekonomi dan fizikal negeri dilaksanakan seiring pengukuhan nilai kerohanian, akhlak serta kemanusiaan dalam kalangan masyarakat.
Tilawah bertemakan ‘Membangunkan Ummah MADANI’ itu disertai 19 peserta terdiri daripada 10 qari dan sembilan qariah serta 35 peserta hafazan melibatkan 18 hafiz dan 17 hafizah.
Program yang berlangsung hingga 23 Januari itu dinilai 28 hakim berpengalaman dalam bidang masing-masing.






