Thailand percepat bantuan kewangan kepada penduduk terjejas insiden sempadan Kemboja

20 Jan 2026, 1:36 PM
Thailand percepat bantuan kewangan kepada penduduk terjejas insiden sempadan Kemboja

BANGKOK, 20 JAN: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengarahkan supaya penyaluran bantuan kewangan kepada penduduk yang terjejas akibat insiden di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja disegerakan, menurut jurucakap kerajaan pada Selasa.

Langkah itu dibuat susulan kelulusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (ECT) Thailand bagi membolehkan kerajaan meneruskan langkah sokongan berkenaan. Berikutan pembubaran Dewan Perwakilan pada 12 Disember 2025, kerajaan sementara ketika ini perlu mendapatkan pelepasan daripada ECT bagi perbelanjaan tertentu.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Siripong Angkasakulkiat berkata Kabinet dalam mesyuarat pada 23 Disember 2025 telah meluluskan cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk memperuntukkan dana bagi membantu isi rumah yang terjejas di bawah belanjawan pusat untuk tahun kewangan 2026 bagi perbelanjaan keperluan atau kecemasan.

Beliau berkata bantuan itu akan merangkumi 467,128 isi rumah dengan jumlah peruntukan sebanyak 2.34 bilion Baht, bertujuan memberi bantuan kepada mereka yang terjejas akibat tindakan angkatan tentera asing, selaras dengan kriteria, syarat dan prosedur pampasan bagi tahun 2025.

“Pelaksanaan bantuan ini boleh diteruskan susulan kelulusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 169 (3) Perlembagaan Kerajaan Thailand 2017,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Kabinet di sini pada Selasa.

Siripong berkata langkah itu bertujuan memberikan bantuan awal kepada isi rumah terjejas berdasarkan data awal yang disahkan oleh pihak berkuasa wilayah di tujuh wilayah iaitu Ubon Ratchathani, Si Sa Ket, Surin, Buri Ram, Sa Kaeo, Chanthaburi dan Trat.

Beliau berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang terjejas dan membantu memulihkan keadaan mereka kepada kehidupan normal secepat mungkin.

Ketegangan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja telah reda susulan persetujuan kedua-dua negara mengenai gencatan senjata serta-merta yang berkuat kuasa pada tengah hari waktu tempatan 30 Disember, selepas menandatangani Kenyataan Bersama pada 27 Disember bagi menamatkan permusuhan yang meletus semula pada 7 Disember.

Kenyataan Bersama itu ditandatangani oleh Menteri Pertahanan Thailand, Jen (B) Nattaphon Narkphanit, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Thailand, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jen Tea Seiha, yang merupakan Pengerusi Bersama GBC Kemboja.

Di bawah Kenyataan Bersama itu, dan selaras dengan semangat Deklarasi Bersama Kuala Lumpur yang ditandatangani pada 26 Oktober, kedua-dua pihak bersetuju dengan beberapa langkah termasuk memastikan keselamatan pasukan peninjau bersama di lapangan, terutamanya di kawasan yang terjejas oleh periuk api.

Thailand juga telah menghantar pulang 18 tentera Kemboja yang ditahan ke negara asal mereka pada 31 Disember.