Agong ingatkan Ahli Parlimen elak hasutan politik cetus ketegangan wilayah

19 Jan 2026, 5:30 AM
Agong ingatkan Ahli Parlimen elak hasutan politik cetus ketegangan wilayah

SHAH ALAM, 19 JAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan Ahli Parlimen agar tidak menghasut sehingga mencetuskan ketegangan antara wilayah, sebaliknya menyelesaikan sebarang perbezaan secara matang dan berhemah.

Baginda bertitah, asas kepada pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.

“Kita sewajarnya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia iaitu perpaduan dan hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Hakikatnya hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut bertitah mengingatkan semua Ahli Parlimen bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat di Dewan Rakyat bukan sekadar mencerminkan pendirian politik parti tetapi bakal menentukan masa depan rakyat dan negara.

“Oleh itu, laksanakan tugas ini dengan penuh amanah, bijaksana dan bertanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula tahun ini perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Dalam titah sama, baginda turut mengalu-alukan usaha mengukuhkan undang-undang berkaitan pilihan raya, institusi demokrasi dan pendanaan politik.

Menurut baginda, usaha itu termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat serta penubuhan institusi Ombudsman.

Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 20 hari akan menyaksikan pembentangan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, diikuti sesi perbahasan selama tujuh hari bermula 20 Januari.