Sistem pendidikan baharu perlu ikut dasar kebangsaan, utamakan bahasa Melayu - Agong

19 Jan 2026, 4:20 AM
Sistem pendidikan baharu perlu ikut dasar kebangsaan, utamakan bahasa Melayu - Agong

SHAH ALAM, 19 JAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah sistem pendidikan baharu di negara ini mestilah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Baginda bertitah, sebarang usul untuk mengiktiraf mana-mana sistem pendidikan lain juga perlu menerima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia sebagai teras utama.

“Sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara. Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ia mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan dan bahasa Melayu menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaan.

“Sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti terima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah Baginda.

Baginda bertitah ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, hari ini.

Dalam titah sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.7 peratus tahun lalu.

Baginda bertitah, kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah, manakala kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa ancaman jenayah berat, keganasan serta perbuatan yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan raja perlu ditangani dengan berkesan.

“Negara turut berhadapan dengan ancaman moden terhadap keselamatan digital, integriti maklumat serta teknologi ‘deepfake’ yang mampu membuka ruang kepada kes penipuan dan menggugat kestabilan sosial.

“Ancaman jenayah berat dan keganasan serta perbuatan yang menyentuh 3R hendaklah juga ditangani dengan berkesan," katanya.

Susulan itu, baginda bertitah undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar negara wajar diwujudkan segera bagi memastikan keharmonian antara semua kaum serta kedaulatan negara terus terpelihara.

“Hanya dengan cara ini keharmonian antara semua kaum dan kedaulatan negara akan sentiasa terpelihara,” titah Sultan Ibrahim.

Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 20 hari akan menyaksikan pembentangan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, diikuti sesi perbahasan selama tujuh hari bermula 20 Januari.

Sementara itu, persidangan Dewan Negara dijadual berlangsung selama 13 hari bermula 23 Februari.

Antara agenda utama persidangan Parlimen kali ini ialah pembentangan beberapa rang undang-undang baharu, termasuk Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, RUU pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara serta RUU Ombudsman 2025.