AMPANG JAYA, 17 JAN: Lebih 160,000 pelajar tingkatan empat dan lima di Selangor menikmati Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) secara percuma tahun ini, dengan peruntukan RM10 juta.
Dato’ Menteri Besar berkata program itu menyumbang kepada peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) Selangor tahun lalu.
Justeru Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 200,000 pelajar bakal menerima tuisyen percuma menjelang 2027.
“Jika sebelum ini, antara tahun 2008 hingga 2016, jumlah pelajar yang terlibat tuisyen rakyat hanyalah sekitar 5,000 hingga 6,000 orang.
“Mulai 2018 kita kukuhkan PTRS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Hari ini kita berjaya memperluaskan manfaat program ini kepada lebih 160,000 pelajar dengan tajaan makanan tengah hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kasih anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Melawati, di Pusat Konvensyen MPAJ di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memberitahu pihaknya turut memberi perhatian kepada murid sekolah rendah khususnya yang menghadapi masalah 3M (membaca, menulis dan mengira).
“Kita juga mahu membantu para pelajar menguasai Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan peluang pekerjaan yang besar di masa hadapan,” katanya lagi.
Amirudin yang juga memegang portfolio pendidikan negeri memaklumkan Kerajaan Negeri menaja kira-kira 4,000 pelajar anak Selangor untuk melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) pada tahun ini.
“Keutamaan diberi kepada golongan pelajar dari berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan menengah (M40).
“Ia membantu mereka tidak perlu membayar hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara penuh,” jelasnya.
Pada majlis sama, Amirudin mengumumkan sumbangan RM100,000 melalui Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada SMK Taman Melawati, bagi memastikan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif.


