AMPANG JAYA, 17 JAN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru rakyat Selangor menolak politik sempit berasaskan perkauman yang akhir-akhir ini dimainkan segelintir pihak.
Amirudin menegaskan, pendekatan politik seperti itu hingga menimbulkan pertelagahan tidak memberi sebarang manfaat kepada masyarakat yang menghargai keamanan dan keharmonian.
“Malangnya sejak akhir-akhir ini berlaku suasana politik sempit, yang cuba memisahkan kita dari segi agama dan kaum. Walaupun jelas dalam perlembagaan, tetapi ada mereka yang tidak bertanggungjawab cuba memisahkan kita dengan sentimen.
“Negeri ini hidup dengan aman dan damai atas rasa kepercayaan. Saya percaya, tidak ramai mereka yang ekstrim ini. Mereka ini hanya mahu keuntungan sementara, tetapi bila diberi ruang, mereka akan kembali laungkan slogan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Ponggal Peringkat Selangor 2026 yang diadakan di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini. Turut hadir EXCO Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu.
Amirudin berkata sambutan Pesta Ponggal yang melambangkan kesyukuran dan penghargaan selaras dengan pendekatan Kerajaan Madani mengembalikan hasil negara kepada rakyat.
Beliau menambah, pelbagai bantuan termasuk penambahan subsidi minyak menunjukkan tadbir urus negara kini berkesan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi positif.
“Kita syukur, kita gembira, kita berikan balik kegembiraan itu kepada rakyat, bukan sahaja dengan angka yang membanggakan untuk mereka sama-sama hidup dalam keadaan aman dan tenteram,” katanya.
Sementara itu, Papparaidu meluahkan kegembiraan apabila lebih 2,000 masyarakat India dari Lembah Klang memeriahkan Pesta Ponggal peringkat negeri yang julung kali diadakan di Ampang.

“Kami hantar jemputan untuk 1,000 hingga 2,000 orang, tapi yang hadir hari ini lebih ramai, termasuk dari Perak dan kawasan lain,” katanya.
Pesta Ponggal, atau pesta menuai, disambut masyarakat India pada hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil selama empat hari bermula 14 Januari lalu.
‘Ponggal’ yang bermaksud ‘melimpah ruah’ turut melambangkan kesyukuran, penghargaan, dan keharmonian antara manusia, alam, dan makhluk lain.


