Imigresen periksa 1,530 orang di dua pusat beli-belah, tahan 217 warga asing

17 Jan 2026, 12:08 PM
Imigresen periksa 1,530 orang di dua pusat beli-belah, tahan 217 warga asing

SHAH ALAM, 17 JAN: Seramai 1,530 individu membabitkan rakyat tempatan dan warga asing diperiksa dalam operasi besar-besaran di dua pusat beli-belah utama di Lembah Klang, hari ini.

Operasi hampir lima jam itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Putrajaya hasil risikan selama dua minggu dan maklumat orang awam, lapor Berita Harian.

Serbuan melibatkan pusat beli-belah di ibu negara dan Ampang, yang dikenal pasti kerap menjadi tumpuan warga asing pada hujung minggu.

Seramai 120 pegawai dan anggota Imigresen, dibantu pasukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terlibat dalam operasi itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli, berkata serbuan di pusat beli-belah pertama mendapati seramai 65 warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen.

"Serbuan kedua di sebuah pusat beli-belah di Ampang pula membawa kepada pemeriksaan ke atas 654 orang membabitkan 260 rakyat tempatan dan 394 warga asing.

"Dalam serbuan itu, seramai 152 warga asing ditahan kerana dikesan melakukan kesalahan imigresen," katanya kepada pemberita selepas operasi selesai dijalankan," katanya.

Secara keseluruhan, Lokman Effendi berkata, pasukan menahan PATI membabitkan 40 lelaki dan 20 wanita warga Indonesia; 46 lelaki dan lima wanita Filipina; 17 lelaki dan 72 wanita Myanmar; tiga lelaki dan dua wanita India; tiga lelaki Bangladesh; lima lelaki Nepal; masing-masing seorang lelaki warga Nigeria dan Jerman; serta dua wanita Pakistan.

"Kesemua mereka yang ditahan itu berusia antara 21 hingga 63 tahun, dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Beranang dan KLIA untuk siasatan lanjut," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Imigresen juga akan mengesan majikan tempatan yang menggaji PATI terbabit, melalui siasatan lanjut.