60,000 hingga 100,000 pengundi setiap kawasan pilihan raya adalah ideal, kata bekas Speaker

17 Jan 2026, 7:26 AM
60,000 hingga 100,000 pengundi setiap kawasan pilihan raya adalah ideal, kata bekas Speaker

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu mengambil kira saiz kawasan yang munasabah dan mudah diurus, bagi membolehkan wakil rakyat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof berkata, secara ideal sesebuah kawasan pilihan raya sepatutnya mempunyai antara 60,000 hingga 100,000 pengundi.

Mengulas cadangan persempadanan semula ketika tempoh lapan tahun hampir berakhir, beliau berkata kegagalan mengimbangi jumlah pengundi sejak sekian lama menyebabkan wujud kawasan pilihan raya yang terlalu besar dan sukar diurus.

Menurutnya, keadaan itu lebih mencabar bagi kawasan yang melibatkan komuniti luar bandar, masyarakat Orang Asli serta golongan berpendapatan rendah yang memerlukan perhatian dan sumber yang lebih tertumpu.

“Secara ideal, satu kawasan pilihan raya sepatutnya mempunyai maksimum 60,000 pengundi. Apabila melebihi jumlah itu, ia menjadi sangat sukar untuk wakil rakyat menawarkan perkhidmatan yang diperlukan. Mungkin boleh dinaikkan sehingga 100,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Putting Everything in Its Proper Place karya Kamarudin Abu Bakar di Zezz Residence, Country Heights Damansara, baru-baru ini.

Ariff turut menjelaskan bahawa kawasan seperti Bukit Lanjan masih mempunyai penempatan Orang Asli yang memerlukan sokongan dan pemantauan lebih rapi.

“Perlu ada satu angka yang jelas, terutama bagi kawasan yang besar. Pastikan persempadanan dibuat dengan betul. Lupakan idea seperti ‘kalau sempadan diubah, akan ada lebih ramai pengundi kaum tertentu’. Itu bukan cara demokrasi sepatutnya berfungsi,” katanya.

Beliau berharap kerajaan melaksanakan proses persempadanan semula mengikut Perlembagaan.

Sebelum ini, beberapa proses persempadanan semula di Malaysia sering dikaitkan dengan amalan gerrymandering berasaskan etnik, susulan perubahan demografi kawasan yang didakwa memihak kepada kerusi majoriti Melayu bagi mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), sekali gus mengundang kritikan.

Pada 28 Oktober tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Kulasegaran Murugeson berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mempertimbangkan untuk mengkaji semula persempadanan kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia selepas tamat tempoh lapan tahun semasa pada Mac ini.

Menurut beliau, prinsip persempadanan merangkumi keperluan memastikan keseimbangan jumlah pengundi, kecekapan pengurusan pilihan raya serta kemudahan kepada pengundi. Selain itu, SPR turut mengambil kira faktor lain seperti kepadatan dan pertumbuhan pengundi, geografi dan bentuk muka bumi kawasan, pembangunan setempat, kemudahan infrastruktur serta akses pengundi kepada perkhidmatan wakil rakyat.

Apabila sempadan kawasan pilihan raya berubah, wakil rakyat memerlukan peruntukan kewangan yang mencukupi dan adil bagi mengurus pertambahan pengundi serta keperluan setempat. Oleh itu, peruntukan automatik dilihat penting untuk memastikan proses persempadanan semula dilaksanakan secara adil.

Sementara itu, Ariff berkata walaupun Perlembagaan telah menyediakan kerangka untuk mengimbangi jumlah pengundi, pelaksanaannya sejak sekian lama telah tersasar, sehingga wujud kawasan pilihan raya yang terlalu besar dan tidak seimbang.

“Anda menyasarkan kepada penyamarataan, tetapi sepanjang tahun-tahun berlalu, ia telah tersasar jauh,” katanya.

Beliau menegaskan proses persempadanan semula perlu mengutamakan keupayaan wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, dan bukannya didorong oleh pertimbangan politik.

Menurutnya, wakil rakyat di kawasan yang terlalu besar berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan pengundi kerana jumlah yang terlalu ramai.

“Orang ramai mungkin mahu diberi ruang bersuara supaya kita tidak terus berada dalam keadaan seperti sekarang, apabila jumlah pengundi yang perlu dijaga terlalu ramai,” katanya.

Ariff turut berpandangan bahawa proses persempadanan sebelum ini mempunyai kelemahan dari segi prosedur dan perundingan awam, apabila sesi pendengaran awam sering dibuat secara tergesa-gesa dan lebih bersifat formaliti.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya penambahbaikan dilakukan dalam proses persempadanan semula akan datang, termasuk memberi masa yang mencukupi untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas orang ramai.