SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Media Malaysia (MMM) menyeru bekas wartawan Free Malaysia Today, Rex Tan yang ditahan awal pagi ini susulan soalan kontroversi dalam satu wacana awam, Isnin lalu, dibebaskan segera.
Menerusi kenyataan, MMM berpandangan penahanan dan penangkapan dibuat terhadap Tan, 31, adalah tidak perlu dan ia dilihat bersifat menghukum.
Menurut MMM lagi, tangkapan itu juga mendedahkan risiko kerjaya dan undang-undang dihadapi wartawan termasuk kemungkinan disiasat, ditahan atau berdepan pelbagai bentuk hukuman dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Pada asasnya, kes ini menimbulkan persoalan adakah wartawan boleh dikira melakukan tindakan menghasut atau mengganggu ketenteraman awam hanya dengan bertanya soalan dalam sebuah forum awam.
“Risiko sebegini boleh menimbulkan tekanan psikologi dan profesional yang teruk dan menggugat kebolehan seorang wartawan untuk bekerja dengan bebas dan selamat,” katanya.
MMM berkata tindakan dan hukuman terhadap wartawan akan memberi kesan kepada industri media dan perbincangan awam selain memberi gambaran kurang baik terhadap kerajaan memandangkan pentadbiran ini sering mempertahankan kebebasan bersuara.
“Kami menggesa polis dan kerajaan supaya tidak terburu-buru mengambil pendekatan bersesuaian dan adil bagi mengatasi perkara sebegini.
“Selain itu tidak mengambil tindakan yang menggugat profesion kewartawanan, kebebasan akhbar serta keselamatan para wartawan dan pengamal media,” katanya.
Tan yang meletak jawatan semalam ditahan awal pagi tadi, selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Peguamnya Rajsurian Pillai mengesahkan Tan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dengan siasatan difahamkan dikendali Bukit Aman.
Susulan itu beberapa pihak antaranya Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Tan dibebaskan segera, selain memberi amaran bahawa tindakan pihak berkuasa menimbulkan persoalan serius tentang ketelusan dan keadilan dalam penguatkuasaan undang-undang.
Pada Isnin, Tan menerima kecaman teruk berhubung soalan yang diajukannya ketika ceramah awam bertajuk 'Gaza Exposes the Complicity of International Actors', menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.


