SHAH ALAM, 17 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor menyeru umat Islam terus memperingati dan menghayati peristiwa Israk Mikraj.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga mengingatkan peristiwa 27 Rejab disambut dengan keyakinan dan percaya umat yang sentiasa berdoa, bertaubat dan solat berada bawah naungan rahmat Allah SWT.
Baginda berdua turut berkenan mengingatkan perjalanan semasa peristiwa Israk Mikraj, seperti yang disampaikan dalam khutbah Jumaat semalam.
“Dalam perjalanan tersebut, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan pelbagai gambaran azab sebagai amaran terhadap kepincangan dalam menunaikan hak kepada Allah SWT dan sesama manusia.
“Ada golongan kepala mereka dipecah berulang kali kerana memandang remeh kewajipan solat. Ada yang dipaksa memakan pokok berduri lagi pahit kerana enggan menunaikan zakat.
“Ada yang memilih daging busuk berbanding makanan yang baik kerana terjebak perbuatan zina serta lemas dalam sungai darah akibat menghalalkan riba,” titah Baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Titah Baginda, gambaran berkenaan bukan untuk menakutkan, sebaliknya menjadi peringatan umat Islam segera menghidupkan kembali ketaatan kepada Allah SWT dan menunaikan hak sesama manusia.
“Keseluruhan peristiwa ini juga mengajar kita konsep ta‘abbud iaitu ketundukan dan kepatuhan hamba kepada perintah Allah SWT walaupun tidak mampu dicapai logik akal semata-mata,” titah Baginda.
Semalam, khutbah Jumaat bertajuk ‘Perjalanan Agung Membugar Iman’, mengingatkan umat Islam bahawa Israk Mikraj bukan sekadar kisah sejarah, sebaliknya sumber kekuatan rohani berterusan untuk umat Nabi Muhammad SAW.
Peristiwa itu juga sebagai pedoman sepanjang zaman yang membimbing jiwa mencari kekuatan, ketenangan dan makna kehidupan.


