SHAH ALAM, 17 JAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan arahan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya perolehan yang terkait rasuah membabitkan tentera dan polis dibekukan sementara sebagai 'reset', memandangkan kedua-dua kementerian menerima bajet terbesar kira-kira RM20 billion setahun.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan merujuk keputusan kepada Ketua Setiausaha KDN bagi melihat kembali setiap perolehan yang sudah diluluskan sebelum ini di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan, lapor Berita Harian.
"Saya melihat ini sebagai satu reset terutama akhir-akhir ini (ada isu penyelewengan). Oleh kerana saiz (bajet) yang besar, selain belanja pengurusan ada belanja pembangunan terutama membabitkan kontrak, projek dan tender perolehan seperti kapal terbang, kapal, sistem teknologi maklumat (IT).
"Dalam keadaan ketika ini, Perdana Menteri berpendapat ada keperluan untuk tengok semula, jadi bila ada keperluan maka timbul cadangan untuk ia dikaji semula," katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Padang Serai, Kulim, Kedah malam tadi.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, setiap kementerian mempunyai jawatankuasa perolehan masing-masing yang menentukan jenis tender yang akan dibuka kepada pihak pembekal.
Berikutan itu setiap perolehan perlu dibuat mengikut keperluan dan spesifikasi ditetapkan agensi kerajaan yang menjadi penggunanya.
"Kalau perolehan membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara sebagai pengguna, maka dibuat spesifikasi, kalau Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pengguna perlukan motosikal baru, maka PDRM akan buat spesifikasi.
"Jadi kami sambut baik kerana ini berkait hala tuju yang selalu Perdana Menteri sebut tentang elak penyelewengan, soal amalan tata kelola yang baik terutama sistem perolehan kerana setiap sen wang rakyat itu perlu dipertanggungjawabkan," katanya.
Terdahulu, Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan mengarahkan semua keputusan perolehan membabitkan tentera, polis serta agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah, dibekukan sementara.
Perdana Menteri berkata, ia bagi membolehkan perkara terbabit diteliti serta disusun semula bagi memastikan peraturan proses perolehan dipatuhi sepenuhnya dan bebas daripada unsur rasuah.


