Israk Mikraj bukan sekadar kisah tapi kompas bina iman

16 Jan 2026, 10:00 AM
Israk Mikraj bukan sekadar kisah tapi kompas bina iman

SHAH ALAM, 16 JAN: Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengingatkan umat Islam bahawa Israk Mikraj bukan sekadar kisah sejarah, sebaliknya sumber kekuatan rohani berterusan untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Menerusi teks khutbah bertajuk ‘Perjalanan Agung Membugar Iman’, umat Islam diajak menghayati peristiwa Israk Mikraj sebagai pedoman sepanjang zaman yang membimbing jiwa mencari kekuatan, ketenangan dan makna kehidupan.

“Ia adalah kompas petunjuk jalan kerohanian yang Allah SWT hadiahkan kepada umat ini. Kompas untuk mencari kekuatan, ketenangan dan makna hidup.

“Jika Nabi SAW kembali dari Mikraj sebagai insan yang lebih teguh, maka kita juga mampu kembali setiap kali selepas solat dengan jiwa yang lebih kuat, hati yang lebih hidup dan langkah yang lebih yakin menuju Allah SWT,” katanya.

Khutbah itu turut menegaskan realiti umat Islam masa kini yang berdepan pelbagai cabaran termasuk kerosakan moral yang semakin membimbangkan, keruntuhan sistem kekeluargaan, tekanan hidup yang menghimpit serta kemerosotan penghayatan terhadap nilai-nilai agama.

“Persoalannya, mengapa dan bagaimana sebahagian umat sanggup melepaskan tanggungjawab beragama dan memandang ringan perintah Allah SWT?

“Jawapannya telah lama diperingatkan melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Dalam perjalanan tersebut, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan pelbagai gambaran azab sebagai amaran terhadap kepincangan dalam menunaikan hak kepada Allah SWT dan sesama manusia.

“Semua gambaran ini bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi sebagai peringatan tegas agar kita semua segera menghidupkan kembali ketaatan kepada Allah SWT dan menunaikan hak-hak sesama manusia sebelum kita sendiri diazab akibat kelalaian tersebut,” ujarnya.

Khutbah berkenaan turut mengingatkan anugerah terbesar daripada peristiwa Mikraj ialah kewajipan ibadah solat, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sebuah hadis yang panjang.

“Solat diumpamakan oleh para ulama’ sebagai ‘mikraj orang beriman’, iaitu tempat roh kita secara maknawi menghadap Allah SWT setiap hari.

“Solat bukan hanya rutin, tetapi pertemuan hati dengan Tuhan yang memberi ketenangan, menguatkan semangat dan menyucikan jiwa dalam dunia yang penuh tekanan,” katanya.