SHAH ALAM, 17 JAN: Setiap kali menjelang bulan Rejab, umat Islam memperingati peristiwa Israk dan Mikraj sebagai salah satu detik penting dalam sejarah Islam.
Peristiwa agung itu merakamkan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, sebelum dinaikkan ke langit sehingga sampai suatu tempat yang dinamakan Sidratul Muntaha.
Namun, di sebalik peristiwa yang mengandungi seribu satu hikmah ini, Israk dan Mikraj juga berlaku dalam konteks yang jarang diketengahkan iaitu ketika Rasulullah SAW berada dalam fasa paling sukar dalam kehidupannya.
Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata peristiwa Israk dan Mikraj merupakan hadiah Allah SWT kepada Rasul-Nya, selepas apa yang dikenali sebagai ‘Amul Huzn atau tahun kesedihan.
“Allah menghadiahkan Israk Mikraj kepada Rasulullah SAW selepas dua peristiwa besar dalam hidup Baginda, iaitu wafatnya bapa saudara Abu Talib dan isteri tercinta Khadijah RA. Ketika itulah Baginda berada dalam fasa paling sukar,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Beliau menjelaskan, selepas kehilangan dua insan penting itu, Rasulullah SAW berusaha mencari tempat baharu untuk berdakwah, termasuk ke Taif, namun menerima penolakan yang amat kejam sehingga Baginda dibaling batu dan cedera.
“Rasulullah SAW sendiri menyebut bahawa tentangan paling dahsyat yang Baginda terima adalah ketika di Taif,” katanya.
Dalam keadaan inilah, jelasnya, Allah SWT tidak menjauhkan diri daripada Rasul-Nya, sebaliknya mendekatkan diri dengan menghadiahkan perjalanan Israk dan Mikraj.
“Apabila seorang hamba berada di titik paling lemah, Allah SWT tidak menjauhkan diri, malah mendekatkan diri,” ujarnya.
Dr Abu Hafiz berkata, hikmah terbesar daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah kewajipan solat, satu-satunya ibadah yang diterima secara langsung oleh Rasulullah SAW di luar bumi.
“Solat adalah ibadah yang diterima di luar daripada bumi. Ia diterima ketika Rasulullah SAW berada dalam keadaan paling diuji,” katanya.
Menurut beliau, solat pada asalnya diwajibkan sebanyak 50 waktu sebelum diringankan kepada lima waktu sehari semalam, namun ganjarannya tetap besar.
Perkara itu membawa mesej jelas bahawa solat bukan beban, sebaliknya bantuan Allah SWT kepada hamba-Nya.
Mengulas realiti kehidupan moden, beliau berkata masyarakat hari ini hidup dalam kesibukan, tekanan kerja dan keresahan jiwa, menyebabkan ramai mencari ketenangan di tempat yang salah.
“Solat bukan sekadar ritual, ia adalah tempat seorang hamba berkomunikasi dengan tuhan, tempat untuk ‘healing’ dan memulihkan diri,” jelasnya.
Beliau menegaskan, mesej Israk dan Mikraj seharusnya difahami sebagai peringatan bahawa solat bukan pilihan, tetapi kewajipan yang menjadi asas keseimbangan hidup.
“Solat bukan kerana kita baik, tetapi kerana kita memerlukan Allah SWT,” ujarnya.



