SHAH ALAM, 16 JAN: Siasatan dalaman berhubung dakwaan aktiviti tidak bermoral yang dikenali sebagai ‘yeye’ membabitkan 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah selesai dan kini menunggu tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang ketenteraan.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata laporan penuh siasatan akan dirujuk kepada Cawangan Perundangan TUDM bagi meneliti bentuk kesalahan serta pertuduhan yang sesuai terhadap setiap individu terlibat.
Tegas beliau, siasatan itu bukan sekadar formaliti, sebaliknya dipantau sendiri olehnya sejak awal.
“Sekiranya didapati bersalah, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi kepada yang terbabit tanpa mengira pangkat.
"Saya akan kotakan apa yang saya katakan sebelum ini dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang melanggar peraturan,” katanya seperti dilapor BH.
Menurut Muhamad Norazlan, kesemua 21 pegawai yang disiasat atas pelbagai kesalahan itu dikenal pasti dari Pangkalan Udara Subang, namun siasatan turut diperluaskan bagi meneliti kemungkinan pembabitan pangkalan atau unit lain.
“Bagaimanapun setakat ini tiada laporan diterima berhubung pembabitan lain-lain pangkalan atau unit berhubung isu itu,” tambahnya.
Terdahulu, beberapa gambar dan rakaman video tular di media sosial yang mendakwa wujud budaya tidak bermoral serta perlakuan tidak selaras dengan etika perkhidmatan dalam sebuah kem tentera.
Susulan pendedahan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera bagi mengesahkan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.


