Di sebuah gua yang jauh dari kesibukan kota, ada suara masa silam yang akhirnya menemukan semula nadinya.
Gua Chawan di Lembah Nenggiri, Gua Musang yang ribuan tahun menjadi saksi senyap kehidupan manusia awal kini muncul semula di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras.
Di Muzium Anatomi, Fakulti Perubatan UKM, rangka manusia prasejarah yang ditemui di gua pedalaman Kelantan itu kini dipamerkan kepada umum.
Dari perut bumi yang gelap kepada ruang pameran yang terang, perjalanan ini bukan sekadar perpindahan lokasi, tetapi perjalanan ilmu daripada tanah kepada sains dan akhirnya kepada masyarakat.
Gua Chawan bukan sekadar tapak tinggalan arkeologi, ia arkib hidup yang menyimpan memori manusia awal Semenanjung Malaysia.
Penggalian yang dijalankan ahli arkeologi bersama Jabatan Warisan Negara menemukan rangka manusia yang tersimpan bersama lapisan tanah, alat batu dan tinggalan fauna.
Setiap perincian – kedudukan tulang, lapisan tanah, serpihan batu – menjadi petunjuk tentang kehidupan mereka yang pernah bernafas di bumi ini beribu tahun lalu.

Namun rangka itu tidak tiba dalam keadaan sempurna. Banyak tulang rapuh setelah terperam lama di dalam tanah.
Proses pemuliharaan dilakukan dengan penuh cermat, sebelum rangka diserahkan kepada penyelidik, agar setiap bukti fizikal dapat dikaji tanpa merosakkan sejarah yang dibawanya.
Dengan penggunaan kaedah pengimejan moden dan analisis biologi, pasukan penyelidik UKM mula membuka helaian cerita lama itu.
Mereka menemui rangka yang dipamerkan mewakili individu berbeza, hidup pada zaman berbeza – termasuk tiga rangka lelaki berusia 7,000, 8,000 dan 9,200 tahun serta satu rangka wanita berusia sekitar 8,000 tahun.
Kesemua ini menjadikannya antara rangka manusia prasejarah tertua yang pernah dipamerkan kepada umum di Malaysia.

Tiada beza manusia purba, moden
Dapatan kajian menjadi lebih menarik apabila struktur tulang individu ini tidak jauh berbeza berbanding manusia moden.
Ketumpatan, kekuatan dan ciri biomekanikal tulang menunjukkan tahap kesihatan fizikal yang baik. Ketinggian mereka juga hampir sama seperti manusia masa kini – menepis tanggapan bahawa manusia prasejarah hidup serba kekurangan.
Gigi, struktur paling kukuh dalam tubuh manusia, turut menjadi sumber penting. Tahap kehausannya mendedahkan jenis makanan dan penggunaan gigi dalam kehidupan harian mereka – bukan sekadar untuk mengunyah, tetapi sebagai alat kerja.
“Kesimpulan kita ialah tidak banyak perbezaan di antara tahap kesihatan tulang manusia prasejarah dan manusia moden tetapi kita harus ingat bahawa saiz sampel kita kecil dan kajian lanjut masih diperlukan.
“Saya rasa kehidupan mereka sihat kerana tulang mereka baik dan kuat. Mereka juga mempunyai banyak aktiviti fizikal dan makanan mereka lebih organik berbanding makanan kita,” kata Ketua Penyelidik, Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman.
Keputusan UKM mempamerkan rangka ini membuka ruang baharu dalam penyelidikan akademik. Hasil kajian tidak lagi terperap di makmal, tetapi dapat difahami masyarakat umum melalui visual, penerangan mudah dan penceritaan saintifik.
Kerjasama antara ahli arkeologi, pakar perubatan, odontologi forensik dan saintis menggambarkan bagaimana satu rangka mampu dibaca dari pelbagai sudut.
Dari gua sunyi yang dipenuhi tanah lembap, rangka ini kini hidup kembali sebagai sumber ilmu dan identiti.
Akhirnya, rangka manusia prasejarah dari Gua Chawan ini mengingatkan kita betapa sejarah bukanlah kisah jauh yang mati dalam buku. Ia wujud pada tulang manusia itu sendiri yang menjadi jambatan antara masa silam dan masa kini.
Dari pedalaman Kelantan ke tengah kota, perjalanan ilmu ini terus membisikkan satu pesan - memahami masa lalu adalah kunci mengenali siapa kita hari ini.


