SHAH ALAM, 15 JAN: Lebih 400 pemimpin kanan kerajaan, industri dan akademia berhimpun pada persidangan CEO Series 2026 anjuran Institut REHDA bagi membincangkan prospek ekonomi, keutamaan pelaburan serta cabaran tenaga kerja Malaysia dan ASEAN.
Persidangan tahunan itu menjadi platform dialog dasar awal tahun dan keterlibatan industri, dengan fokus terhadap hala tuju ekonomi, kejelasan dasar serta daya saing negara dalam landskap global dan serantau yang kian berubah.
Antara pemimpin terlibat dalam persidangan berkenaan ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
Pengerusi Institut REHDA, Dato’ Jeffrey Ng Tiong Lip berkata persidangan itu diwujudkan sebagai platform neutral bagi menggalakkan dialog substantif antara pembuat dasar dan pemimpin industri.

“Ia direka untuk membincangkan secara konstruktif realiti ekonomi dan keutamaan jangka panjang.
“Libaturus ini membantu mencorakkan kesepaduan dasar, mendalami pasaran pelbagai industri serta keputusan pelaburan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
CEO Series 2026 turut menampilkan pakar ekonomi antarabangsa, penyelidik dan pemimpin industri dari ASEAN, Australia dan Eropah, sekali gus memperkukuh keterlibatan Malaysia dengan pemegang taruh serantau dan global.
Menurut beliau, penglibatan berterusan pakar dan pelabur antarabangsa menandakan keyakinan pelabur terhadap keutuhan asas Malaysia dan peranan serantau negara.
“Ia turut memberikan ruang untuk menanda aras pencapaian negara secara realistik apabila dibandingkan dengan rakan serantau,” katanya.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh peluang integrasi ekonomi rentas sempadan, termasuk kerjasama Johor–Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, melibatkan sektor pembuatan, logistik, infrastruktur dan pembangunan bandar.
Potensi Tahun Melawat Malaysia 2026 juga dibincangkan, khususnya dalam pembangunan pelancongan, perhotelan dan hartanah berasaskan pengalaman, serta peranan sektor swasta dalam menyokong agenda pelancongan negara yang berpendapatan mampan.
Pada persidangan sama, Inisiatif Belia Institut REHDA (RIYI) dilancarkan sebagai inisiatif pembangunan modal insan kebangsaan bagi merapatkan jurang antara institusi pengajian tinggi dan industri.

Program yang dilancarkan Menteri Pengangkutan itu melibatkan lebih 13 universiti tempatan bersama pemimpin korporat dan industri, dengan penekanan kepada bimbingan berstruktur, pendedahan industri awal serta bimbingan kerjaya.
“Daya tahan ekonomi bergantung bukan semata-mata kepada pelaburan dan dasar, tetapi juga modal insan berwibawa.
“RIYI mencerminkan kepercayaan Institut REHDA bahawa pemegang taruh industri harus memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyediakan generasi muda Malaysia untuk memasuki pasaran kerja berbekalkan kemahiran praktikal dan jangkaan realistik,” jelasnya.
Tambah beliau, RIYI merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Institut REHDA dalam membangunkan modal insan negara.
“Sebagai sebuah badan pemikir bebas, kami melihat keperluan sektor secara menyeluruh dan bukan sahaja keperluan semasa. Melabur dalam generasi muda dan modal insan adalah tanggungjawab jangka panjang,” ujarnya.



