SHAH ALAM, 15 JAN: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan menyeludup karkas babi bernilai RM66,000 di Bukit Kayu Hitam semalam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata pemeriksaan mendapati daging babi berkenaan dibawa masuk tanpa dokumen import sah.
Menurut beliau, dalam satu operasi, sebuah kenderaan diarahkan ke kaunter timbang dengan berat kasar direkodkan 4,200 kilogram (kg).
“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, berat bersih kenderaan direkodkan hanya 2,200kg. Perbezaan berat itu menimbulkan syak sebelum membawa kepada penemuan muatan tidak sah yang disahkan sebagai karkas daging babi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, rampasan dilakukan kerana pengimportan daging babi dari Thailand adalah dilarang susulan ancaman penyakit African Swine Fever (ASF).
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728 – MAQIS).
Sementara itu, Mohd Nasarudin berkata AKPS pada hari sama menolak kemasukan sembilan warga asing di pintu masuk Bukit Kayu Hitam atas pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak dibenarkan masuk melalui laluan darat, disyaki bukan pelancong tulen serta tersenarai dalam senarai syak jabatan.
Menurutnya, tindakan itu dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua individu terlibat diarahkan berpatah balik melalui Thailand untuk pulang ke negara asal masing-masing.


