SHAH ALAM, 15 JAN: Selangor mula melaksanakan perlesenan ladang babi pada 2012 dengan 128 lesen dikeluarkan, dalam tempoh 13 tahun jumlah ladang babi berlesen turun 71 peratus kepada hanya 37 ladang pada separuh kedua 2025.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim yang ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam, berkata penurunan ketara itu hasil pelaksanaan kawal selia lebih ketat serta penstrukturan semula industri penternakan oleh Kerajaan Negeri.

Data tersebut yang disahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor turut menunjukkan penyusutan besar populasi ternakan babi sepanjang tempoh berkenaan.
Pada 2012, terdapat 273,100 ekor babi di ladang berlesen seluruh negeri, angka ini menurun kepada hanya 18,010 ekor pada separuh kedua 2025.
Jelasnya, trend penurunan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk syarat pelesenan lebih ketat, pematuhan piawaian ladang moden serta kesan wabak Demam Babi Afrika (ASF) yang mula dikesan di Selangor pada awal 2025.
“ASF merupakan penyakit berisiko tinggi dan sehingga kini masih aktif, sebab itu kawalan ketat terus dilaksanakan bagi mengelakkan penularan ke ladang lain.
“Kita tidak membenarkan ladang beroperasi semula secara tergesa-gesa. Semua prosedur pembersihan, kuarantin dan pemantauan perlu dipatuhi sebelum sebarang kelulusan diberikan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan tiada lesen baharu ladang babi diluluskan pada separuh kedua 2025 sebagai langkah kawalan tambahan terhadap industri berkenaan.
Izham menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP), khususnya melibatkan aspek kawalan penyakit, kelestarian serta kebajikan industri penternakan di Selangor.
Isu ladang babi menjadi tumpuan ramai selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Susulan pertemuan Sultan Selangor dengan Izham pada 12 Januari lalu, beberapa penambahanbaikan dilakukan termasuk mempercepatkan pemindahan ladang ternakan ke Bukit Tagar pada tahun ini dan tiada dana awam digunakan dalam urusan berkaitan dengannya.


