SHAH ALAM, 14 JAN: Kerajaan berhak menarik balik sebarang bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta mengambil tindakan undang-undang sekiranya pemohon didapati mengemukakan maklumat palsu atau tidak tepat.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan setiap permohonan STR akan melalui pelbagai proses semakan dan verifikasi bersama agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan hanya golongan benar-benar layak menerima bantuan.
Menurut MoF, semakan berkala turut dilaksanakan setiap suku tahun melibatkan rekod pemilikan kediaman, kenderaan, perniagaan serta status pekerjaan atau penempatan di luar negara bagi mengesahkan kelayakan pemohon.
“Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil.
"Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang telah diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular dakwaan di media sosial mengenai seorang individu yang dilaporkan layak menerima STR walaupun mempunyai hasil sewaan enam buah rumah sehingga pendapatannya melebihi had kelayakan ditetapkan.
MoF turut memaklumkan, bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Sementara itu, maklumat berkaitan status pengkreditan dan soalan lazim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh disemak melalui https://sara.gov.my.
Kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan yang ditetapkan, selaras dengan pelaksanaan program bantuan sosial kerajaan yang menekankan proses semakan teliti serta pengesahan maklumat oleh pelbagai agensi.
Bagi pemohon baharu, selain syarat pendapatan, semakan tahunan turut melibatkan pemilikan aset dan rekod berkaitan bagi memastikan bantuan disasarkan kepada golongan benar-benar memerlukan.
Dalam perkembangan berkaitan, MoF memaklumkan STR Fasa 1 Tahun 2026 akan mula disalurkan pada 20 Januari ini seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Perutusan Tahun Baharu 2026.
Bagi fasa pertama, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan, memanfaatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, dengan penerima menerima bantuan antara RM100 hingga RM500 mengikut kategori kelayakan.
Kerajaan MADANI turut menyusun semula pemberian STR dan SARA tahun ini bagi memastikan bantuan kos sara hidup disalurkan secara lebih berkesan dan berterusan, dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah kerajaan persekutuan.


