SHAH ALAM, 15 JAN: Industri penternakan babi di Malaysia menunjukkan trend penurunan berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didorong penularan Demam Khinzir Afrika (ASF), kos makanan ternakan yang meningkat serta langkah kawalan biosekuriti lebih ketat oleh pihak berkuasa.
Di Selangor, jumlah ternakan babi menurun daripada 265,739 ekor pada 2022 kepada 260,930 ekor pada 2024, mencerminkan penyusutan walaupun negeri itu kekal antara penyumbang utama industri di Semenanjung Malaysia.
Trend penurunan turut jelas di peringkat nasional, apabila jumlah ternakan babi negara susut daripada sekitar 1.67 juta ekor pada 2021 kepada 1.24 juta ekor pada 2024, iaitu pengurangan lebih 25 peratus dalam tempoh tiga tahun.
Beberapa negeri mencatat penyusutan lebih ketara, termasuk:
Johor: 283,800 ekor (2020) → 112,970 ekor (2024)
Pulau Pinang: 341,895 ekor (2020) → 162,757 ekor (2024)
Sarawak: 327,000 ekor (2020) → 141,566 ekor (2024)
Manakala Melaka tidak lagi merekodkan penternakan babi aktif sejak 2022 selepas industri itu terjejas sepenuhnya akibat ASF
Berdasarkan Buku Perangkaan Ternakan 2024 terbitan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Selangor merekodkan 260,930 ekor ternakan babi pada 2024, lima negeri dengan jumlah ternakan babi tertinggi pada 2024 ialah:
Perak – 421,386 ekor
Selangor – 260,930 ekor
Pulau Pinang – 162,757 ekor
Sarawak – 141,566 ekor
Johor – 112,970 ekor
Seiring penyusutan ternakan, jumlah sembelihan babi juga mencatat penurunan berterusan. Pada 2023, sebanyak 1.33 juta ekor babi disembelih di seluruh negara, namun angka itu menurun kepada 1.13 juta ekor pada 2024, iaitu susut sekitar 15.3 peratus dalam tempoh setahun.
Walaupun mencatat penurunan, Selangor kekal negeri tertinggi bagi sembelihan babi dengan 273,059 ekor pada 2024, diikuti Sarawak (226,800 ekor) dan Johor (206,397 ekor), menandakan peranan negeri itu sebagai hab pemprosesan utama daging khinzir negara.
Dalam jawapan di Dewan Rakyat pada 7 Ogos 2025, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Haji Mohamad Sabu memaklumkan pelupusan ternakan terpaksa dilakukan di beberapa kawasan termasuk Sepang dan Kuala Langat sebagai langkah membendung ASF, yang memberi kesan langsung kepada pengeluaran domestik jangka pendek


