Wabak ASF masih aktif, Selangor perketat kawalan ladang babi

15 Jan 2026, 3:01 AM
Wabak ASF masih aktif, Selangor perketat kawalan ladang babi

SHAH ALAM, 15 JAN: Wabak demam babi Afrika (ASF) di Selangor masih aktif dan berada di bawah pemantauan rapi pihak berkuasa veterinar dengan kawalan ketat penternakan terus dilaksanakan bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata setakat ini terdapat 37 ladang ternakan babi di Selangor, berbanding 41 ladang pada awal tahun lalu susulan jangkitan ASF yang dikesan pada Februari 2025.

“ASF merupakan penyakit berisiko tinggi dan sehingga kini masih aktif sebab itu kawalan ketat terus dilaksanakan bagi mengelakkan penularan ke ladang lain.

Kita tidak membenarkan ladang beroperasi semula secara tergesa-gesa. Semua prosedur pembersihan, kuarantin dan pemantauan perlu dipatuhi sebelum kelulusan diberikan,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Dato' Ir Izham Hashim. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Izham menambah, kawalan penternakan hanya akan dibenarkan selepas sesebuah ladang disahkan bebas daripada ASF dan pengeluaran akan dihadkan mengikut jumlah yang diluluskan dalam lesen penternak bagi memenuhi keperluan negeri.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan khususnya melibatkan aspek kawalan penyakit serta kelestarian dan kebajikan industri penternakan.

Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Selangor, sehingga Disember lalu terdapat 37 ladang ternakan babi dengan jumlah populasi 18,010 ekor, menunjukkan penurunan ketara berbanding 41 penternak dan 114,820 ekor babi yang direkodkan pada Jun 2025.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan anggaran ternakan 254,425 ekor babi pada 2025, menempatkan negeri itu di kedudukan kedua selepas Perak yang merekodkan 425,391 ekor sementara negeri lain termasuk Pulau Pinang (164,526 ekor), Sarawak (138,603 ekor) dan Johor (111,830 ekor).

Dalam pada itu, tiga ladang ternakan babi di daerah Sepang dan Kuala Langat, masing-masing di Sungai Blankan, Sepang serta sebuah ladang di Kampung Tumbuk, Tanjong Sepat antara premis yang dikesan berlaku jangkitan demam babi Afrika (ASF) pada 22 Januari tahun lalu.