BANGKOK, 14 JAN: Sekurang-kurangnya 22 terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas sebuah kren pembinaan runtuh dan menghempap sebuah kereta api penumpang di Thailand pagi tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan kereta api tersebut tergelincir dari landasan di daerah Nakhon Ratchasima, di timur laut Bangkok.
Rakaman di lokasi kejadian yang disahkan oleh Agence France-Presse (AFP) menunjukkan struktur kren yang rosak terletak di atas tiang konkrit besar, dengan asap tebal kelihatan naik dari bangkai kereta api di bawahnya.
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan penumpang yang terperangkap dari gerabak yang senget dalam kejadian itu .
Seorang penduduk tempatan, Mitr Intrpanya, 54, berkata dia terdengar bunyi kuat sebelum kejadian berlaku.
“Kira-kira jam 9 pagi, saya dengar bunyi kuat seperti sesuatu meluncur jatuh dari atas, diikuti dua letupan.
“Apabila saya melihat apa yang berlaku, saya dapati sebuah kren jatuh menghempap kereta api penumpang dengan tiga gerabak.
“Logam dari kren itu kelihatan menghentam bahagian tengah gerabak kedua sehingga ia terbelah dua,” katanya yang berada di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Nakhon Ratchasima, Thatchapon Chinnawong mengesahkan seramai 22 mangsa maut manakala 80 lagi cedera dalam kejadian itu.
“Kami kini meminta pihak hospital mengesahkan berapa ramai mangsa yang berada dalam keadaan kritikal,” katanya.
Menteri Pengangkutan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn, berkata seramai 195 penumpang berada di dalam kereta api berkenaan.
Kemalangan itu berlaku di sebuah tapak pembinaan yang merupakan sebahagian daripada projek bernilai AS$5.4 bilion yang disokong China bagi membangunkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di Thailand.
Projek berkenaan bertujuan menghubungkan Bangkok ke Kunming, China, melalui Laos menjelang 2028, sebagai sebahagian daripada inisiatif infrastruktur mega China, ‘Belt and Road’.


