Jumlah pengundi naik mendadak, Selangor perlu kerusi baharu

16 Jan 2026, 6:00 AM
Jumlah pengundi naik mendadak, Selangor perlu kerusi baharu
Jumlah pengundi naik mendadak, Selangor perlu kerusi baharu

SHAH ALAM, 16 JAN: Selangor memerlukan pertambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan peningkatan mendadak jumlah pengundi, kata penganalisis pilihan raya.

Menurut Dr G Manimaran, perkara tersebut berlaku selepas pelaksanaan Undi18, yang menurunkan had umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun, serta mewajibkan pendaftaran secara automatik.

Tambahnya lagi, peningkatan itu menyebabkan banyak kawasan Parlimen di negeri berkenaan mempunyai jumlah pengundi terlalu besar, sekali gus menjejaskan prinsip perwakilan seimbang.

“Sebagai contoh, Parlimen Bangi kini mempunyai lebih 300,000 pengundi, sekitar 310,000 orang berbanding hanya kira-kira 180,000 sebelum 2022.

“Jika mengambil purata ideal antara 50,000 hingga 100,000 pengundi bagi satu kawasan, Bangi wajar dipecahkan kepada tiga atau empat kerusi,” katanya kepada Media Selangor.

Bekas wartawan dan editor Dr G. Manimaran ditemubual Bernama di kediamannya di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata situasi sama turut berlaku di beberapa kawasan lain seperti Subang, Damansara, Kota Raja, Petaling Jaya dan Gombak, masing-masing mencatatkan lebih 200,000 pengundi.

Menurut Manimaran, Selangor secara keseluruhan memerlukan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen baharu bagi memastikan prinsip keadilan perwakilan dapat dipenuhi.

“Persempadanan semula diperlukan bagi memastikan setiap kawasan mempunyai wakil rakyat yang seimbang, mengambil kira pertambahan penduduk dan proses pemodenan di kawasan bandar,” katanya.

Mengulas garis masa, beliau menjelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya boleh memulakan kajian persempadanan semula selepas Mac 2026, selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan tempoh lapan tahun bagi setiap kajian.

“SPR tidak boleh bertindak sesuka hati kerana jika dilakukan lebih awal, ia boleh dicabar di mahkamah dan membawa kepada implikasi perundangan,” katanya.

Pada 22 Disember lalu, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan tidak akan menyokong sebarang cadangan persempadanan semula pilihan raya yang boleh menjejaskan kepentingan kawasan majoriti Melayu di negeri ini.

Kebimbangan itu timbul susulan andaian terdapat pihak yang mahu menambah kerusi bukan Melayu menerusi proses persempadanan semula berkenaan.

Beliau menegaskan persempadanan semula perlu dibuat secara menyeluruh melibatkan semua 22 kerusi Parlimen di Selangor dan bukan tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.