SHAH ALAM, 16 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengamalkan pendekatan lebih menyeluruh dalam struktur dan keanggotaannya bagi menjamin proses persempadanan semula yang adil dan telus.
Felo Kursi Institusi Raja-raja Melayu berkata langkah itu turut meningkatkan keyakinan rakyat dan kestabilan sistem terhadap proses yang boleh dijalankan semula selepas tempoh lapan tahun.
Menurut Datuk Prof Dr Jayum Anak Jawan, komposisi keanggotaan SPR juga wajar mencerminkan kepelbagaian masyarakat supaya pertimbangan dalam proses persempadanan dilihat tidak memihak kepada kelompok tertentu.

“Selain aspek perundangan dan teknikal, kepercayaan awam terhadap SPR juga amat penting. Untuk suruhanjaya ini dilihat adil dan telus, ia perlu bersifat inklusif dan bebas daripada persepsi berat sebelah,” katanya kepada Media Selangor.
Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman sesawang SPR, pegawai utama suruhanjaya itu ketika ini terdiri daripada lima Melayu, seorang Cina dan seorang India.
Mengulas kesan persempadanan terhadap landskap politik negara, Dr Jayum berkata sebarang perubahan tidak menggugat kedudukan politik Melayu di peringkat Persekutuan dan 11 negeri.
“Daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, sebanyak 125 adalah kerusi Melayu. Apa-apa rang undang-undang berkaitan perubahan kerusi perlu mendapat sokongan majoriti Melayu Semenanjung,” katanya.
Beliau turut mengkritik alasan lama berkaitan kos pentadbiran dan kecekapan pengurusan kawasan sebagai justifikasi mengekalkan persempadanan tidak seimbang.
“Jika mahu pentadbiran cekap, tambahkan pegawai dan sediakan kemudahan mencukupi. Alasan seperti ini sudah lama digunakan dan tidak lagi relevan dengan realiti semasa,” katanya.
Kajian persempadanan semula kali terakhir dilaksanakan pada 2018 dan tertakluk kepada had masa lapan tahun seperti diperuntuk bawah Perlembagaan Persekutuan.
SPR memaklumkan sebarang kajian baharu hanya boleh dimulakan selepas tempoh itu berakhir, dengan mengambil kira data bancian penduduk dan perumahan yang dijalankan setiap 10 tahun.
Sehubungan itu, isu ketelusan, keterangkuman dan keyakinan awam terhadap SPR dijangka terus menjadi tumpuan menjelang kemungkinan kajian persempadanan semula seterusnya.



