Persempadanan perlu imbangi jumlah pengundi, tidak patut beri kelebihan politik

16 Jan 2026, 1:00 AM
Persempadanan perlu imbangi jumlah pengundi, tidak patut beri kelebihan politik
Persempadanan perlu imbangi jumlah pengundi, tidak patut beri kelebihan politik

SHAH ALAM, 16 JAN: Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat bagi mengimbangi jumlah pengundi dan tidak sepatutnya memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik.

Felo Kursi Institusi Raja-raja Melayu berkata ia juga mengambil kira perubahan demografi semasa, selain keperluan Perlembagaan yang tidak boleh melepasi tempoh lapan tahun tanpa kajian semula.

"Persempadanan pilihan raya merujuk kepada keperluan mengkaji semula sempadan kawasan bagi meningkatkan keberkesanan perwakilan, sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

"Ia perlu dilakukan secara berkala mengikut Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Prof Dr Jayum Anak Jawan kepada Media Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, proses itu melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab menyediakan cadangan awal sebelum dibawa ke peringkat Persekutuan dan negeri untuk dibentangkan di Parlimen.

Felo Kursi Institusi Raja-raja Melayu Datuk Prof Dr Jayum Anak Jawan. Foto Universiti Putra Malaysia

Tambahnya, SPR juga diwajibkan mempamerkan cadangan persempadanan bagi membolehkan bantahan serta pandangan daripada pengundi dan pemegang taruh di kawasan terlibat.

Mengulas keperluan persempadanan semula, Dr Jayum berkata faktor utama meliputi pertambahan bilangan penduduk dan jumlah pengundi yang tidak seimbang antar bandar dan luar bandar.

“Kawasan bandar lazimnya mempunyai bilangan pengundi yang jauh lebih ramai berbanding luar bandar. Selain itu, pergerakan penduduk juga perlu diambil kira kerana ramai pengundi berdaftar di kawasan lama walaupun sudah menetap di tempat lain,” katanya.

Tegasnya, persempadanan semula tidak seharusnya memberi kesan politik kepada mana-mana parti, namun mengakui realiti politik berasaskan kaum boleh mempengaruhi pertimbangan tertentu.

“Disebabkan parti politik dan juga pegawai terlibat mempunyai latar sentimen kaum, tidak dapat dinafikan kemungkinan pertimbangan persempadanan memihak kepada kelompok tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Jayum menjelaskan tanggapan terhadap keadilan persempadanan tidak boleh dinilai hanya mengikut jumlah pengundi, sebaliknya perlu melihat keluasan kawasan dan cabaran pentadbiran.

Beliau memberi contoh Parlimen Seputeh Kuala Lumpur yang mempunyai kira-kira 125,000 pengundi berbanding Parlimen Igan di Sarawak sekitar 28,000 pengundi, namun keluasannya hampir sama.

“Persoalannya, adakah satu ahli parlimen di Igan bersamaan 11 ahli parlimen di Kuala Lumpur? Ini menunjukkan isu persempadanan perlu dilihat menyeluruh, bukan satu sudut sahaja,” katanya.

Kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya terakhir diluluskan Parlimen pada 2018.

Mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR hanya boleh menjalankan kajian semula selepas tempoh minimum lapan tahun, melainkan Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan.

Ketika ini, SPR memaklumkan kajian baharu hanya boleh dipertimbang selepas Mac 2026, selaras tempoh had berkenaan serta keperluan menggunakan data bancian penduduk dan perumahan terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.