‘Tidak adil’: Wakil rakyat kawasan padat tuntut persempadanan semula

15 Jan 2026, 12:00 PM
‘Tidak adil’: Wakil rakyat kawasan padat tuntut persempadanan semula

SHAH ALAM, 15 JAN: Wakil rakyat di Selangor menggesa semakan segera sempadan pilihan raya menjelang tamat tempoh lapan tahun Mac ini, bagi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.

Mereka yang mewakili kawasan berpenduduk padat berpendapat struktur sedia ada tidak lagi seimbang susulan pertambahan penduduk, selain model kewangan yang tidak mengambil kira jumlah pengundi.

Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau berkata terdapat kawasan yang memiliki bilangan pengundi terlalu besar, namun hanya diwakili seorang wakil rakyat, mewujudkan ketidakseimbangan sistem demokrasi.

Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau bercakap kepada Media Selangor semasa program Jelajah JobCare Selangor di Dewan Hamzah, Klang pada 27 September 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, Klang merekodkan seramai 208,913 pengundi berdaftar dalam pilihan raya lalu dan antara enam kerusi parlimen di Selangor dengan jumlah pengundi melebihi 200,000 orang.

“Kawasan seperti Klang mempunyai jumlah pengundi jauh lebih besar berbanding kawasan lain, namun hanya diwakili seorang ahli parlimen. Keadaan ini bukan sahaja melemahkan suara pengundi, malah membebankan tugas dan tanggungjawab wakil rakyat,” katanya kepada Media Selangor.

Ganabatirau berkata saiz kawasan yang terlalu besar memberi kesan terhadap perkhidmatan apabila jumlah aduan, permohonan kebajikan, isu infrastruktur dan penglibatan komuniti sukar ditangani seorang wakil rakyat bersama pasukan pusat khidmat masyarakat.

“Walaupun pelbagai usaha dilakukan, kekangan kapasiti menyebabkan masa tindak balas dan susulan terhadap kes-kes penduduk menjadi terhad. Isunya bukan soal komitmen, tetapi ketidakseimbangan struktur kawasan,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan menilai semula formula peruntukan kawasan yang kini diagihkan secara sama rata tanpa mengambil kira jumlah pengundi, yang menurutnya tidak adil kepada kawasan berpenduduk tinggi.

Ganabatirau berkata kawasan seperti Klang memerlukan sumber tambahan bagi mengendalikan pusat khidmat, menambah kakitangan, menyalurkan bantuan kebajikan dan melaksanakan program komuniti.

Seorang pengundi membuang undinya semasa Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu di sebuah pusat mengundi di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto Suruhanjaya Pilihan Raya

Sekiranya persempadanan semula tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, beliau mencadangkan langkah sementara seperti penambahan peruntukan kepada kawasan padat penduduk, sokongan kakitangan tambahan, pembukaan pusat khidmat satelit serta penggunaan platform digital bagi memperluas capaian perkhidmatan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Kulasegaran Murugeson memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mempertimbangkan semakan persempadanan kawasan di Semenanjung selepas tamat tempoh lapan tahun semasa pada Mac ini.

Menurutnya, proses persempadanan mengambil kira keseimbangan jumlah pengundi, kecekapan pentadbiran pilihan raya dan kemudahan pengundi, selain faktor kepadatan penduduk, geografi, topografi, pembangunan, infrastruktur serta akses kepada perkhidmatan wakil rakyat.

Sumber terhad

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Chong Kian Young berkata persempadanan semula perlu dilaksanakan bagi memastikan pengundi menerima perwakilan yang berkesan sejajar perubahan demografi dan pembangunan bandar yang tidak seimbang.

Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong Kian Young bercakap kepada Media Selangor selepas memantau kerja-kerja pembersihan longkang oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd di Bandar Sungai Long, Hulu Langat pada 9 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata kawasan yang besar dan padat penduduk memberi tekanan kepada wakil rakyat sehingga menjejaskan keupayaan mereka untuk memberi maklum balas pantas dan berinteraksi secara berkesan dengan komuniti setempat.

“Pengendalian kes, penglibatan masyarakat dan penyelesaian isu tempatan menjadi lebih mencabar, dan penduduk mungkin berdepan kelewatan mendapatkan bantuan atau perkhidmatan,” katanya.

Ahli Parti Keadilan Rakyat itu turut berpandangan formula peruntukan kawasan wajar dikaji semula kerana agihan sama rata tidak mencerminkan keperluan sebenar kawasan berpenduduk tinggi.

Pada Pilihan Raya Negeri Selangor 2023, Kajang mencatatkan 109,785 pengundi berdaftar berbanding 62,710 pada PRU14, peningkatan yang didorong penurunan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, ADN Dengkil Datuk Seri Jamil Salleh berkata kawasan yang mempunyai bilangan pengundi ramai serta keluasan tanah yang besar berada dalam keadaan tidak seimbang di bawah sistem peruntukan dan persempadanan sedia ada.

Beliau berkata mekanisme peruntukan sama rata menyebabkan wakil rakyat di kawasan besar menerima jumlah dana yang jauh lebih rendah bagi setiap pengundi.

“Jika peruntukan dibuat berdasarkan bilangan pengundi, kawasan seperti Dengkil jelas berada dalam keadaan tidak seimbang,” katanya, sambil memaklumkan kawasan itu mempunyai 93,931 pengundi berdaftar dan meliputi keluasan kira-kira 345 kilometer persegi.

Menurutnya, beliau sering menanggung perbelanjaan sendiri bagi program komuniti serta bantuan kebajikan, termasuk keperluan asas untuk keluarga kurang berkemampuan.

Jamil turut menjelaskan Dengkil merangkumi perkampungan Orang Asli yang mewakili sekitar dua hingga tiga peratus pengundi, selain komuniti B40 yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.

Beliau menegaskan sebarang cadangan persempadanan semula perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor keluasan tanah dan taburan geografi kawasan, bukan hanya berdasarkan jumlah penduduk semata-mata.