KUALA LANGAT, 12 JAN: Hari pertama sesi persekolahan di seluruh Selangor hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya tidak menerima laporan sebarang masalah melibatkan pelajar atau pihak sekolah, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan yang baik hasil perancangan rapi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Penjadualan semula sesi persekolahan yang dilaksanakan oleh KPM turut membantu ibu bapa dan pihak sekolah menyusun semula perancangan mereka selepas cuti hujung tahun serta berdepan faktor cuaca dan peralihan monsun.
“Setakat ini segalanya berjalan dengan baik. Saya percaya penyelarasan jadual yang dibuat KPM banyak membantu ibu bapa menyesuaikan rutin harian mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kerja membaik pulih sekolah terjejas ribut di Sijangkang Jaya, hari ini.
Kalendar akademik bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan kembali bermula pada bulan Januari tahun ini selepas berlaku peralihan sejak 2022 susulan pandemik Covid-19.
Sesi persekolahan bagi Kumpulan B iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula hari ini manakala bagi Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula semalam
Dalam pada itu, Amirudin yang juga memegang portfolio pendidikan negeri memberitahu hampir sejuta pelajar sekolah di seluruh Selangor akan mendapat manfaat Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150.
“Esok pula saya akan meninjau pelaksanaan agihan bantuan ini di beberapa buah sekolah,” ujarnya.
Pada 5 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan meneruskan pemberian BAP sebanyak RM150 kepada setiap pelajar, yang dijangka diagihkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
Menurutnya, bantuan berkenaan melibatkan pelajar daripada peringkat prasekolah hingga Tingkatan Enam, berbanding sebelum ini yang terhad sehingga Tingkatan Lima sahaja.
Beliau yang juga menteri kewangan memaklumkan pemberian bantuan tersebut disertakan dengan syarat ibu bapa atau penjaga wajib hadir ke sekolah bagi memastikan wang bantuan digunakan sepenuhnya untuk keperluan anak-anak, selain membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan guru.



