JPN nafi ingkar perintah mahkamah dalam permohonan MyKad remaja

12 Jan 2026, 9:53 AM
JPN nafi ingkar perintah mahkamah dalam permohonan MyKad remaja

SHAH ALAM, 12 JAN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tiada keingkaran terhadap perintah mahkamah berhubung permohonan pengeluaran MyKad seorang individu dikenali sebagai CJ.

Sebaliknya, JPN memaklumkan bahawa semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur, berhemah serta selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

Jelas JPN, kes tersebut melibatkan isu penipuan dokumen semasa permohonan sijil kelahiran dibuat oleh ibu individu terbabit pada 2008.

“Penipuan dokumen itu melibatkan pengeluaran bukti kelahiran secara tidak sah oleh sebuah fasiliti perubatan, iaitu Taj Hospital, yang telah pun disenaraihitam oleh JPN.

“Isu ini menjadi asas kepada ketidakselarasan dan penipuan dokumen yang direkodkan oleh JPN sebelum status kewarganegaraan individu berusia 17 tahun itu dibawa ke mahkamah.

“Tindakan pembetulan dan pengesahan dokumen perlu dilaksanakan terlebih dahulu selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur pendaftaran sebelum pengeluaran dokumen pengenalan diri dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, JPN menjelaskan pihaknya tidak boleh terus mencetak dan mengeluarkan MyKad tanpa melengkapkan proses pembetulan rekod dan pendaftaran yang diperlukan, khususnya melibatkan ketidakselarasan atau penipuan dokumen sebelum ini.

“Semua langkah yang diambil adalah bagi memastikan ketepatan, integriti rekod negara serta pematuhan kepada undang-undang.

“JPN menegaskan jabatan ini sentiasa berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta melaksanakan tanggungjawab pendaftaran dan dokumentasi negara secara profesional, telus dan berintegriti,” katanya.

Dalam pada itu, JPN memaklumkan individu berkenaan telah hadir ke kaunter Bahagian Kad Pengenalan (BKP) JPN Putrajaya pada Khamis lalu bagi penyerahan perintah Mahkamah Tinggi tersebut.

“JPN telah menyerahkan borang permohonan dan senarai semak pendaftaran lewat kad pengenalan untuk dilengkapkan oleh CJ sebagai sebahagian daripada proses pelaksanaan perintah mahkamah.

“Namun, JPN masih belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap daripada CJ untuk tindakan lanjut sehingga hari ini,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan CJ sebagai warganegara Malaysia dan mengarahkan JPN mengeluarkan MyKad kepadanya dalam tempoh 30 hari selepas permohonan.

Bagaimanapun, sekumpulan peguam iaitu Latheefa Koya, N Surendran dan Zaid Malek mendakwa JPN Putrajaya sengaja menghalang proses itu dengan enggan memberikan borang permohonan MyKad yang sepatutnya.

Mereka mendakwa JPN menyuruh CJ dan ibunya melengkapkan pelbagai borang lain yang tidak diperlukan oleh perintah mahkamah.