Selangor tidak pernah eksport babi, penternakan hanya penuhi 30 peratus keperluan

12 Jan 2026, 10:16 AM
Selangor tidak pernah eksport babi, penternakan hanya penuhi 30 peratus keperluan

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan Selangor menegaskan tidak pernah merancang untuk mengeksport babi kerana pengeluaran ternakan ketika ini masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan negeri.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata penternakan babi di negeri ini hanya mencakupi 30 peratus keperluan makanan bagi masyarakat bukan Islam.

“Sebelum penularan penyakit African Swine Fever (ASF) lagi, pengeluaran khinzir di Selangor hanya mampu menampung kira-kira 60 peratus keperluan, manakala ketika ini jumlah tersebut merosot kepada sekitar 30 peratus.

“Tidak timbul sebagai mana yang diuar-uarkan oleh pembangkang kata kita (Selangor) mahu jadi pengeksport terbesar babi.

“Selama ini (Selangor) tidak pernah eksport. Tidak tahu perkataan eksport tu datang daripada mana, untuk keperluan Selangor pun tidak cukup. Perkara ini telah saya maklumkan kepada Tuanku Sultan Selangor pagi tadi,” katanya selepas menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, hari ini.

Beliau berkata ketika ini terdapat 115 ladang babi di Selangor yang menempatkan anggaran 100,000 ekor, berkurangan daripada 250,000 ekor sebelum ini.

Jelasnya, bagi memenuhi keperluan tempatan, babi turut diimport dari negeri lain seperti Sarawak.

Mengulas lanjut, Izham berkata Kerajaan Negeri kini sedang meneliti semula angka sebenar populasi ternakan bagi memastikan jumlah yang diternak hanya mencukupi untuk kegunaan dalaman, khususnya keperluan masyarakat bukan Islam di Selangor.

Mengulas kaedah ternakan moden yang dirancang, Izham menjelaskan ia akan dilaksanakan secara tertutup dan berteknologi tinggi dengan pendekatan ‘zero discharge’ bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.

“Kumbahan ternakan tidak akan dilepaskan ke sungai, sebaliknya diproses sepenuhnya termasuk ditukar kepada biogas untuk menjana elektrik, seperti yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang,” katanya.

Tambah beliau, lokasi ternakan akan ditempatkan jauh dari kawasan penempatan penduduk serta dilengkapi zon penampan yang mencukupi bagi mengawal bau, penyakit dan kesan terhadap persekitaran.

Katanya, pelaksanaan kaedah moden itu bertujuan memastikan aspek kebersihan, keselamatan bio dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Kelmarin, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah, Baginda memandang serius keputusan tersebut, khususnya kerana ia berpotensi melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.