Polisi Perlindungan Murid diperkenal, ibu bapa, pihak sekolah wajib tandatangan

12 Jan 2026, 5:01 AM

SHAH ALAM, 12 JAN: Kementerian Pendidikan memperkenalkan Polisi Perlindungan Murid yang wajib ditandatangani semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah sebagai komitmen bersama membanteras gejala buli.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan keselamatan pelajar dan usaha itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh persekitaran pembelajaran yang selamat.

“Kita tidak kompromi isu buli dan ini komitmen kementerian setiap masa. Tanggungjawab ini mestilah dipikul bersama bagi memastikan sekolah sejahtera dan anak-anak dilindungi.

“Semua pihak akan menandatangani polisi perlindungan ini yang akan libatkan semua pemegang taruh sebagai aku janji bagi memelihara serta melindungi anak-anak. Polisi ini diperkenal sebaik sahaja sesi persekolahan bermula.

“Ini antara perkara baharu selain manual buku sekolah selamat yang kini di peringkat akhir. Buku ini akan dikongsi dengan ibu bapa sebagai tanggungjawab bersama,” katanya selepas merasmikan pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent Elmina di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada pentadbiran sekolah supaya memastikan pelajar hadir ke sekolah sekali gus tidak keciciran pelajaran.

“Isu keciciran pelajar ditangani sepanjang masa…jika ada rekod tidak hadir menjadi tanggungjawab sekolah dan pentadbir untuk teliti dan menyemak bagi memastikan perkara ini.

“Pastikan tidak ada yang keciciran dan ini juga menjadi tanggungjawab ibu bapa serta komuniti. Sekiranya ada masalah dokumentasi, ibu bapa perlu selesaikan supaya pendaftaran berjalan lancar,” katanya.