Kajian kembalikan UPSR, PT3 sedang dijalankan termasuk libat ibu bapa

12 Jan 2026, 4:28 AM
Kajian kembalikan UPSR, PT3 sedang dijalankan termasuk libat ibu bapa
Kajian kembalikan UPSR, PT3 sedang dijalankan termasuk libat ibu bapa

SHAH ALAM, 12 JAN: Kementerian Pendidikan sudah memulakan kajian keperluan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kata Menteri Pendidikan.

Fadhlina Sidek berkata kajian itu dilaksana secara menyeluruh termasuk melibatkan pandangan ibu bapa dan akan dibentang kepada jemaah menteri dan masyarakat.

“Beri sedikit masa, kajian telah dijalankan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK). Kementerian memang ada pandangan, cuma perlu buat kajian menyeluruh bagi mendengar permintaan ibu bapa.

“Pentaksiran peperiksaan ini dilakukan sekian lama sudah pasti ada kesannya dan sebab itu kita tumpu pentaksiran lebih holistik.

“Kita akan beri penjelasan cuma beri sedikit masa dan akan bentang secepat mungkin kepada jemaah menteri dan masyarakat. Kajian dilaksana tahun ini juga dan akan bentang secepat mungkin,” katanya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada sidang media media ketika Majlis Pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent Elmina pada 12 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent Elmina di sini hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan hampir 800,000 pelajar tahun satu dan tingkatan satu seluruh Malaysia berdaftar pada sesi persekolahan tahun ini.

Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada April 2021 setelah ia melalui sesi libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan pada 2020 berikutan Covid-19.

Peperiksaan PT3 pula dibatalkan pada tahun sama, sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022 dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bantuan RM150 telah mula diagihkan sejak semalam kepada sekolah yang sudah memulakan sesi persekolahan.

“Bantuan diberikan secara tunai dan saya sarankan ibu bapa gunakan peluang ini bertemu guru bagi mengetahui perkembangan anak-anak,” katanya.