SHAH ALAM, 11 JAN: Program Ihya’ Mushaf anjuran penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berjaya mengumpul 1,200 kilogram mushaf al-Quran dan buku agama rosak untuk dilupuskan mengikut tatacara sahih, melepasi sasaran awal 300 kilogram.
Program yang berlangsung semalam di Masjid Saujana Utama dari jam 9 pagi hingga 3 petang itu diusahakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Antara Personal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Shah Alam.
Ia menerima sambutan luar biasa jemaah masjid serta penduduk setempat, yang prihatin terhadap keperluan pelupusan al-Quran rosak mengikut garis panduan betul berpandukan hukum syarak.
Pengarah projek, Putri Nur Izzati Yazit menjelaskan sambutan diterima menggalakkan sekali gus membolehkan kutipan bahan pelupusan mencecah empat kali ganda daripada sasaran asal.
“Sasaran awal kami hanyalah 300 kilogram, namun sambutan luar jangkaan membolehkan kami mengumpul 1,200 kilogram bahan agama rosak. Ia membuktikan keperluan tinggi terhadap saluran pelupusan sahih,” katanya.
Beliau menambah, program itu bukan sekadar khidmat komuniti tetapi turut memperkasa penuntut dari segi pembangunan kepimpinan dan kemahiran komunikasi.
“Penduduk juga berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang memandangkan manfaatnya sangat besar,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Penasihat Program, Norhayati Baba memaklumkan, program itu penganjuran kali ketiga penuntut e-Pembelajaran Jarak Jauh (e-PJJ) dan kali kedua bersama Masjid Saujana Utama.
“Ini membuktikan keupayaan penuntut mengurus projek komuniti secara profesional,” katanya.
Menariknya, edisi kali ini turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Attin Press Sdn Bhd yang mengendalikan proses pelupusan menggunakan teknologi pemisahan dakwat sebelum pembakaran mushaf dilakukan.
Kos pelupusan ditetapkan RM5 bagi setiap kilogram bagi menampung keseluruhan proses mengikut tatacara sahih, termasuk pemantauan dari awal hingga akhir.
Program Ihya’ Mushaf ini bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat memahami kaedah pelupusan mushaf yang betul, malah memperkukuh peranan masjid sebagai pusat rujukan dan pendidikan komuniti.



