SHAH ALAM, 11 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menanggung kerugian hampir RM100,000 setiap tahun akibat perlanggaran tren dengan haiwan ternakan di sepanjang laluan antara Gemas, Negeri Sembilan hingga Tumpat, Kelantan.
Menurut Pemangku Pengurus Besar Kawalan Operasi KTMB, Sadun Abdullah, insiden tersebut berlaku hampir setiap minggu dan menjejaskan kelancaran operasi serta jadual perjalanan kereta api.
"KTMB bukan sahaja berdepan kerosakan aset dan kos pembaikan setiap kali perlanggaran, sebaliknya kita juga perlu menanggung kerugian akibat kelewatan perjalanan tren penumpang dan kargo," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program KTMB Santuni Pelajar Sekolah Wilayah Pantai Timur Sempena Hari Pertama Persekolahan 2026, di Kuala Krai hari ini.
Jelas Sadun, keadaan itu turut memberi kesan kepada penternak apabila haiwan ternakan mereka mati dirempuh tren, yang sekali gus menimbulkan kerugian dua hala.
"Ini adalah situasi yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya kawalan terhadap ternakan dilakukan dengan lebih baik," ujarnya.
KTMB sebelum ini mengeluarkan nasihat kepada penduduk yang tinggal berhampiran landasan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan haiwan berkeliaran.
Antara haiwan yang sering terlibat dalam kemalangan tersebut termasuk lembu, kerbau dan kambing yang dibiarkan bebas tanpa pengawasan.
Masalah itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan perjalanan, malah boleh mengundang bahaya kepada penumpang jika perlanggaran menyebabkan tren tergelincir atau mengalami kecemasan teknikal.
KTMB turut menyarankan agar tindakan undang-undang dikenakan terhadap pemilik haiwan yang cuai, bagi memberi pengajaran dan mengelakkan kejadian berulang.




