34 premis di Selangor terima notis ketidakpatuhan harga

9 Jan 2026, 2:00 PM
34 premis di Selangor terima notis ketidakpatuhan harga

SHAH ALAM, 9 JAN: Sebanyak 34 premis menerima notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 menerusi Ops Kesan 5.0 yang dilaksanakan sejak 1 Januari lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata notis tersebut dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga dan kos barangan persekolahan, barangan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta barangan keperluan pengguna.

“Pemeriksaan Ops Kesan 5.0 di seluruh Selangor bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 susulan penyelarasan gaji Fasa 2 penjawat awam.

“Selain itu, ia sebagai isyarat penting kepada peniaga agar tidak sesekali mengambil kesempatan membuat pergerakan harga sama ada tanpa asas mahupun melakukan pencatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Ops Kesan 5.0 yang bermula minggu lalu melibatkan pemeriksaan terhadap 156 jenis barangan, termasuk di peringkat peruncit dengan tumpuan kepada barangan Jualan Kembali ke Sekolah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan KPDN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat kenaikan harga yang tidak munasabah dan bertentangan dengan peruntukan undang-undang berkaitan pencatutan.

“Individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000,” katanya.