SHAH ALAM, 9 JAN: Kerajaan Malaysia dijangka memperoleh semula kira-kira RM5 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada beberapa individu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid serta ahli keluarga ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
BH melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat mengusahakan pemulangan dana berjumlah AS$600 juta (kira-kira RM2.4 bilion) daripada Tarek, selain akaun milik ahli keluarga Jho Low yang dijangka dipulangkan kepada kerajaan Malaysia dalam tempoh terdekat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pasukan pegawainya sedang menjalankan rundingan penyelesaian dengan beberapa negara, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
“Kita jangka akan memperoleh sekitar RM5 bilion dan pelbagai tindakan sedang dilakukan, termasuk ke AS dan UK, untuk mendapatkan penyelesaian bersama suspek kes 1MDB,” katanya.
Menurut beliau, antara usaha yang sedang dijalankan ialah rundingan penyelesaian dengan Tarek Obaid bagi memulihkan dana berjumlah AS$600 juta.
Semalam, BH melaporkan SPRM sedang mengesan baki kira-kira RM12 bilion daripada keseluruhan RM42 bilion dana 1MDB yang dikenal pasti diseleweng.
Setakat ini, nilai keseluruhan dana dan aset 1MDB yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia mencecah RM31.19 bilion.
Azam berkata daripada jumlah RM42 bilion itu, kira-kira RM30 bilion telah berjaya dipulihkan, manakala baki RM12 bilion masih dalam proses pengesanan.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan sekitar RM5 bilion lagi dapat diperoleh dalam masa terdekat, walaupun belum dapat memastikan tempoh tepat pemulangan dana tersebut.
“Saya mahukan perkara ini diselesaikan segera tanpa penangguhan. Dengan beberapa individu yang terbabit, SPRM menjangkakan pemulihan awal sekitar RM2.8 bilion,” katanya.
Tarek Obaid merupakan pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI), sebuah syarikat minyak dan gas berpangkalan di Arab Saudi yang terlibat dalam skandal 1MDB.
Pada Ogos 2024, Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas Tarek atas kesalahan penyelewengan berkaitan dana 1MDB, manakala seorang lagi pengarah PetroSaudi, Patrick Mahony, dihukum penjara enam tahun.


