SEPANG, 9 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengenal pasti 14 lokasi panas banjir dan siap merangka pelan mitigasi menyeluruh bagi mengurangkan bencana berulang di kawasan berisiko tinggi.
Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta agensi teknikal berkaitan bagi memperkukuh pengurusan banjir secara bersepadu.
“Kita telah mengenal pasti 14 kawasan hotspot banjir dan pelbagai langkah sedang serta akan dilaksanakan melalui kerjasama erat antara pihak terlibat bagi mengurangkan impak banjir kepada penduduk.
“Pelan tindakan ini turut dipantau secara berkala menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur peringkat Majlis yang bersidang setiap bulan,” katanya pada sidang media selepas majlis perakuan menerima jawatan ahli majlis MPSepang bagi penggal 2026 hingga 2027, di sini hari ini.
Menurut Dr Ani, antara langkah mitigasi yang diberi keutamaan termasuk pembinaan struktur kawalan banjir seperti pintu kawalan aliran (flap gate), pembinaan ban serta kerja pembersihan longkang dan sistem perparitan secara berkala.
Dalam pada itu, beliau berkata MPSepang turut menekankan pendekatan kerja yang lebih proaktif menerusi amalan turun padang, bukan sekadar bertindak berdasarkan aduan awam.
“Pendekatan ini penting bagi meminimumkan isu berulang khususnya melibatkan pengurusan sisa pepejal, kawasan panas banjir serta penyelenggaraan infrastruktur.
“Kita mahu rakyat benar-benar merasai kehadiran kerajaan. Justeru, budaya kerja perlu ditransformasikan agar selari dengan nilai daya tahan, kecekalan dan pendekatan berteraskan insani,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh warga MPSepang agar mengubah pendekatan kerja seiring agenda transformasi perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, seramai 24 Ahli Majlis MPSepang dilantik bagi penggal 2026 hingga 2027 dan akan berkhidmat selama dua tahun bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2027.


