SHAH ALAM, 9 JAN: Sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor di kedudukan kira-kira 0.43 batu nautika barat Tanjung Harapan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata hasil pemeriksaan mendapati lesen bot berkenaan telah tamat tempoh dan kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Beliau berkata penahanan dilakukan sekitar jam 2.20 petang oleh aset Maritim Malaysia ketika rondaan rutin Op Ehsan dan Op Tiris 3.0 di perairan Selangor.
“Bot tersebut membawa muatan kargo iaitu 26 tong berisi ikan campur dan ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang nahkoda berusia 35 tahun bersama seorang kru berumur 25 tahun, masing-masing warga tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, bot bersama kru dan muatan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia akan terus mempertingkat pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang di perairan negara, khususnya di Selangor.
Orang ramai yang mempunyai aduan, maklumat atau berdepan insiden kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-8995 7820.



