Di sebalik bangunan lama dan tinggalan lombong di Batu Arang, Gombak, tersimpan cerita tentang warisan, komuniti dan memori yang membentuk sebuah pekan.
Hari ini, cerita itu dihidupkan semula oleh generasi muda, sekumpulan murid yang tampil sebagai renjer cilik - pemandu pelancong kecil yang tampil bercerita tentang tanah tempat mereka membesar.
Program itu dinamakan Coalian’s Explorer, ilham baharu untuk melatih anak-anak ini memahami sejarah pekan mereka, berdiri yakin di hadapan orang luar dan menjadi pewaris cerita tempat bersejarah itu.
Di tangan kecil inilah kisah Batu Arang diceritakan semula dengan suara lantang anak muda, tulus dan penuh harapan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Nini Nafaizah Mokhtar melihat potensi itu bertunas daripada persekitaran mereka sendiri.
“Kami mahu melahirkan pemimpin kecil yang bukan sekadar belajar dalam kelas, tetapi berani bercakap, berinteraksi dan membawa cerita tentang tempat sendiri,” katanya.
Guru berusia 56 tahun itu berkata cetusan idea bermula tatkala pihak sekolah melihat potensi murid serta kelebihan persekitaran kawasan itu.
“Persekitaran Batu Arang sendiri adalah ‘bilik darjah’ terbuka. Murid melalui kawasan bersejarah setiap hari, jadi kami mahu mereka memahami dan menceritakannya dengan gaya mereka sendiri,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Perasaan gementar
Namun renjer cilik ini tidak lahir dengan keyakinan serta-merta. Mereka bermula dengan suara perlahan, tangan berpeluh dan dada berdebar.
Latihan demi latihan — bercakap depan cermin, simulasi bersama rakan, menjawab soalan spontan, perlahan-lahan membina keberanian.
Kamarul Afiq Kamarulzaman, 10, masih mengingati perasaan gementar pada peringkat awal, namun sokongan dan latihan daripada guru mengubah keyakinannya.
“Takut nak sertai sebab risau tak pandai cakap, tapi cikgu selalu bagi semangat. Lama-lama saya jadi berani bercakap,” kata renjer cilik termuda itu.
Ruzain Lutfi Rosnizam, 11, pula mengakui pengalaman pertama sebagai pemandu pelancong cilik sangat mencabar, namun latihan menjadikannya lebih yakin.
Begitu juga Annur Marissa Syahrul Azmeer, 12, yang melalui perjalanan serupa, “Masa mula-mula memang malu juga. Tapi lepas banyak latihan dan berlatih depan guru, saya rasa lebih yakin untuk terangkan kepada pelancong dan kawan-kawan.”
Aisy Qairina Khairani, 12, pula bercerita minatnya hadir bukan pada awal program tetapi selepas melihat rakan-rakan sendiri berubah.
“Saya asalnya tak nak sertai tapi bila tengok kawan kata program ini seronok dan beri keyakinan, saya pun cuba, lama-lama rasa seronok,” ujarnya.
Antara lokasi yang sering diperkenalkan kepada pengunjung termasuklah Terowong Batu Arang, White House dan Corong Udara Batu Arang.
“Corong udara ini menunjukkan keprihatinan terhadap pekerja lombong Batu Arang. Ia dibina untuk membantu pekerja di dalam terowong bernafas dengan lebih baik supaya mereka dapat terus bekerja,” ujar Annur Marissa.
Aisy Qairina pula menjelaskan banyak kisah sejarah era penjajahan British di White House dan tempat itu seronok untuk dilawati.
Batu Arang bukan sekadar seni bina lama. Ia juga identiti rasa seperti Roti Leleh Batu Arang yang dibakar menggunakan arang, cadangan menu wajib oleh Kamarul dan Ruzain buat pengunjung.
Bagi Nini Nafaizah, selain lokasi sesuai untuk pencinta sejarah dan fotografi, kecantikan Batu Arang terletak pada keharmonian masyarakatnya.
“Batu Arang bukan sekadar tapak perlombongan lama, ia sebuah pekan yang sangat harmoni, Melayu, Cina dan India hidup bersama tanpa batas,” katanya.
Usaha renjer cilik ini turut menyokong perkembangan Gombak–Hulu Langat (GHL) Geopark yang menerima status geopark kebangsaan pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata program itu melibatkan tiga Geo School termasuk SK Batu Arang.
“Dengan GHL Geopark kini diwartakan secara rasmi, Selangor telah mengenal pasti 20 ‘geosite’ yang mempunyai potensi pelancongan yang kukuh,” katanya.
Beliau turut berkongsi bagaimana murid kumpulan pertama yang kini di tingkatan satu tetap kembali membantu.
“Mereka bersedia kembali membantu dan membimbing murid lebih muda. Ibu bapa juga gembira melihat perkembangan anak-anak yang bukan sekadar menyertai aktiviti, tetapi membina keyakinan dan kemahiran komunikasi sebagai renjer cilik.”


