Syarikat kitar semula plastik didenda RM100,000 kes buangan terjadual

8 Jan 2026, 6:00 AM
Syarikat kitar semula plastik didenda RM100,000 kes buangan terjadual

SHAH ALAM, 8 JAN: Sebuah syarikat kitar semula plastik terpakai didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen 4 Klang selepas mengaku bersalah melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 berkaitan pengurusan buangan terjadual.

Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti kepentingan awam, hujahan pihak pendakwaan serta rayuan yang dikemukakan oleh peguam syarikat berkenaan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Dato’ Wandi Yadzid Haji Yaakob berkata hukuman tersebut bertujuan memberi pengajaran kepada syarikat terbabit dan menjadi peringatan kepada pemain industri lain supaya tidak menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Syarikat berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dan semakan lanjut mendapati syarikat itu tidak mempunyai kelulusan daripada JAS untuk menempatkan buangan terjadual di premis.

“Pemeriksaan pada 29 Jun 2020 di Jalan Sungai Jati, Klang menemui lambakan sekerap plastik bersama serpihan papan litar elektronik yang dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW110 di kawasan penerimaan bahan mentah premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM500,000, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua premis industri agar mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang alam sekitar bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.