Bermula sekadar hobi bagi memenuhi kehendak bapa, seni seramik mengubah seluruh arah hidup seorang anak muda dari Sijangkang, Kuala Langat.
Muhammad Iqbal Awang Damit memulakan langkah tanpa sebarang impian besar, tanpa diduga dia membawa nama Selangor ke pentas antarabangsa.
Segalanya bermula selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, ketika bapa menghantarnya ke pusat latihan seramik di Subang Jaya hanya untuk mengisi masa lapang.
Selama hampir dua bulan, pemuda berusia 34 tahun itu didedahkan kepada disiplin, kesabaran, jatuh bangun dan realiti dunia seramik yang sebenar.
Meski bukan sesuatu yang mudah, pengalaman itu mengubah segalanya. Daripada tidak mempunyai minat, ia bertukar menjadi cinta yang memekar.
“Bapa lebih mahukan saya mengikuti bidang seni lukis mengikut jejak langkahnya tetapi disebabkan minat yang mendalam selepas ikuti kursus ini, saya pujuk bapa mahu menyambung pengajian dalam bidang seramik,” katanya.
Pujukan demi pujukan akhirnya melembutkan hati bapa, sekali gus mendorongnya memohon pengajian formal di Universiti Teknologi Mara, Seri Iskandar dalam bidang seramik sekitar 2009.

Kembara ke Korea
Selepas tamat pengajian, studio kecil di rumahnya menjadi tempat untuknya mengasah kemahiran. Dia pernah cuba ke Jepun, namun rezekinya berubah arah.
Namun latihan industri di Pulau Pinang membuka identiti seni sendiri sebelum seorang pengkarya Korea Selatan mencadangkannya ke Incheon.
“Alhamdulillah, tiada rezeki di Jepun. Rupanya pada Mei 2012 rezeki saya dapat ke Korea dan menjalani latihan industri selama tiga bulan.
“Saya difahamkan saya satu-satunya anak Malaysia dihantar ke sana pada ketika itu,” katanya.
Tiga bulan di negara K-Pop itu nyata tidak mudah buat Muhammad Iqbal. Kekangan bahasa, budaya, makanan halal sukar didapati dan keseorangan menjadi cabaran sebenar.
Hari-harinya diisi dengan makanan ringkas seperti pisang, sosej dan gochujang halal. Malah, ketika Ramadan dia terpaksa berpuasa dan bersahur dengan menu yang sama.
Usaha anak muda itu tidak sia-sia. Dia menamatkan latihan dengan anugerah pingat emas atas komitmen cemerlang.
Kembali ke Malaysia pada 2013, ketika itulah tercetusnya pembukaan Bangkita Ceramic Studio yang menumpukan kepada pembuatan kelengkapan hidangan seramik.
‘Bangkita’ bermaksud ‘kayu yang membakar’ dalam Bahasa Melayu Brunei, merujuk kepada kaedah pembakaran tradisional menggunakan kayu api.
Minat dan kecintaan Muhammad Iqbal terhadap penghasilan peralatan hidangan yang cantik, unik dan berfungsi jelas terserlah dalam setiap karyanya.
“Saya percaya keindahan sebenar seramik terletak pada ketidaksempurnaannya, sebab itulah setiap karya yang dihasilkan adalah satu-satunya dan tidak pernah sama,” katanya.
Studionya pertama kali menyertai acara anjuran Kraftangan Malaysia seterusnya melebar sayap sehingga ke Paris, New York, Berlin, Frankfurt, Kemboja, Sri Lanka dan Maldives.
Malah, kelengkapan hidangan seperti pinggan, mangkuk dan cawan jenamanya turut mendapat tempahan kafe terkenal antaranya Cili Kampung, Huckleberry, Chef Kecik, Bijan KL dan Bröom Artisan Bakery.
Hotel ternama - The RUMA Hotel and Residences, Hotel KLOE, Hotel LUMA, Ritz Carlton Langkawi, W Hotel Kuala Lumpur, Hotel Intercontinental dan Four Seasons Maldives - turut menggunakan hasil seramiknya.
Menurutnya, kejayaan sebenar bukan sekadar pameran luar negara, tetapi apabila masyarakat tempatan mula memahami dan menghargai apa itu seramik buatan tangan.
“Sekarang di Bangkita Ceramic Studio kita turut adakan bengkel atau kelas membuat seramik. Ramai sertai, ada kanak-kanak dan tak kurang juga golongan dewasa.
“Kita beri peluang untuk mereka buat produk daripada asas sehinggalah menjadinya produk seramik. Kemudian mereka boleh bawa pulang,” katanya yang menyediakan kelas dengan yuran serendah RM100.

Bina kafe
Namun perjalanan seni Muhammad Iqbal tidak sunyi daripada ujian. Pandemik Covid-19 hampir meragut segalanya.
Studio terhenti, tetapi gaji pekerja tetap perlu dibayar. Dari situ tercetus idea menubuhkan kafe Sepinggan Semangkuk di Sijangkang pada 2021 yang menumpu kepada hidangan ala kopitiam dan masakan kampung.
Kemudian lahir Setalam, Sedulang di Telok Panglima Garang dan Kembang Setaman di Kanchong Darat.
Setiap kafe dibina dengan jiwa rumah papan lama, seperti mengajak orang pulang ke kampung halaman yang lembut dan damai.
“Hampir 100 peratus pinggan mangkuk di kafe kami ialah hasil Bangkita,” katanya.
Hari ini, Bangkita bukan lagi sekadar studio, tetapi ekosistem komuniti dengan lebih 30 pekerja.
Kerjasama bersama Tourism Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2025 pula menyaksikan kelahiran siri seramik khas merah kuning warna negeri yang menjadi nadi ilhamnya.
“Ia bukan sekadar kolaborasi, tetapi pengiktirafan bahawa seramik ialah identiti negeri,” katanya.


