KUALA LUMPUR: Sebuah penerbangan Malaysia Airlines dari Paris ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang berlepas selepas kru mengesan isu teknikal sejurus selepas pesawat berlepas, semalam.
Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 yang beroperasi dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle (CDG), Paris ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) membuat pendaratan semula di CDG sebagai langkah berjaga-jaga selepas terdapat ketidaknormalan pada petunjuk enjin.
Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu, kru penerbangan bertindak selaras dengan prosedur keselamatan standard dengan memohon keutamaan pengendalian daripada Kawalan Trafik Udara bagi memastikan pendaratan semula dapat dilakukan dengan selamat.
“Selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, kru penerbangan memohon keutamaan pengendalian dan mematuhi arahan Kawalan Trafik Udara.
“Ia termasuk penggunaan kod transponder kecemasan, bagi memudahkan pendaratan semula yang selamat di CDG untuk pemeriksaan teknikal.
“Pesawat terbabit kemudiannya mendarat dengan selamat pada jam 3:35 petang, waktu tempatan di Paris,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Malaysia Airlines turut memaklumkan penerbangan gantian MH21D dijadualkan berlepas dari CDG pada jam 1 tengah hari waktu tempatan hari ini bagi membawa penumpang ke destinasi akhir.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan juruterbang pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan sejurus selepas berlepas dari CDG, Paris.
Penerbangan MH21 berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada jam 11.55 pagi waktu tempatan (CET), kira-kira 45 minit lewat daripada jadual asal berikutan keadaan salji di lapangan terbang itu.
Pada masa sama, Malaysia Airlines memaklumkan penumpang terjejas ditempatkan semula ke penerbangan alternatif sekiranya ada, manakala sebahagian penumpang lain disediakan penginapan di hotel berhampiran lapangan terbang.
“Malaysia Airlines amat kesal atas segala kesulitan dan gangguan terhadap perancangan perjalanan penumpang. Keselamatan kekal sebagai keutamaan utama Malaysia Airlines,” menurut kenyataan itu.


